Mahkamah Pilihan Raya
Mahkamah Pilihan Raya
KUALA LUMPUR - Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menetapkan tarikh untuk mendengar bantahan awal oleh pempetisyen  dan responden berhubung petisyen pilihan raya difailkan bagi empat kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  
Hakim Pilihan Raya Datuk Zabariah Mohd Yusoff menetapkan 17 Julai untuk mendengar bantahan bagi kawasan Setiawangsa, 22 Julai bagi kawasan Batu, 23 Julai bagi kawasan Titiwangsa dan 24 Julai bagi kawasan Lembah Pantai.
  
Zabariah menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas berjumpa dengan peguam yang mewakili semua pihak terbabit dan peguam kanan persekutuan yang mewakili pegawai pilihan raya (RO) bagi setiap kawasan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
  
Peguam Rajesh Kumar Sharma yang mewakili Ibrahim Yaacob, calon PKR bagi kawasan Setiawangsa, memberitahu pemberita, anak guamnya juga telah memfailkan permohonan bagi penemuan iaitu pemohon memohon perintah mahkamah untuk membuka peti undi dan paterinya sebelum dihantar kepada pakar tulisan untuk dianalisis.
  
Katanya permohonan mengikut Perintah 26 Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954 itu disokong dua afidavit, dan pempetisyen (Ibrahim) mendakwa dua saksi yang bertindak sebagai ejen pilihan raya telah mengesan corak dan stail pangkah pada kertas undi mempunyai sedikit persamaan yang menunjukkan kemungkinan berlaku manipulasi dalam undi pos.

Rajesh berkata Zabariah hanya akan mengendalikan permohonan Ibrahim selepas mahkamah membuat keputusan mengenai bantahan awal.
  
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke memberitahu pemberita kedua-dua responden (RO dan SPR) akan mengemukakan bantahan awal (PO) bagi Setiawangsa, Titiwangsa dan Lembah Pantai.
  
Beliau berkata PO itu bertumpu kepada soal tiada pematuhan oleh para pempetisyen mengikut Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya.
  
Semasa ditanya kenapa mereka tidak mengemukakan PO bagi Batu, Alice berkata mereka akan mengendalikan isu itu sekiranya petisyen bagi kawasan itu menjalani perbicaraan penuh.
  
"Para pempetisyen perlu berjaya dalam PO mereka dan sekiranya Mahkamah Pilihan Raya menolaknya, dengan itu berakhir lah perkara itu. Bagaimanapun, mereka masih boleh merayu ke Mahkamah Persekutuan," jelas Alice. - Bernama