• Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin
1 / 1
KUALA TERENGGANU – Pembangkang dianggap ibarat ‘rumah siap pahat berbunyi’ apabila menimbulkan isu berhubung kewajaran mengadakan sidang tergempar Parlimen ke arah penjimatan wang negara.

Ahli Dewan Negara, Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin berkata, beliau sendiri tidak faham dengan sikap pembangkang yang sering menimbulkan perkara yang telah pun selesai dibincang dan dibahaskan.

Menurutnya, segala prosedur telah pun diikuti sama ada perbahasan di peringkat Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara yang memperlihatkan penglibatan semua pihak sama ada di pihak pemerintah atau pembangkang.

“Kita adakan sidang rakyat, sudah selesai dan Dewan Negara juga sudah selesai. Dalam persidangan itu, kita buka ruang untuk sidang Parlimen. Di negeri, ada Sidang Dun, juga sudah selesai.

“Ini juga bermakna langkah penjimatan sudah selesai dibincang di Parlimen dan Dewan Rakyat. Kenapa perlu bangkitkan lagi? Pembangkang mahu mencari glamor sahaja,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, sidang tergempar Parlimen perlu diadakan untuk mencari langkah penjimatan kewangan negara.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, suruhanjaya bebas juga perlu ditubuhkan bagi membuat laporan terperinci terhadap pihak yang menyalahgunakan dana negara sehingga menjadikan kerajaan sebagai cagaran.

Zaitun yang juga Setiausaha Wanita Umno Terengganu berkata, pihak kerajaan tidak pernah memikirkan mengenai pemborosan, sebaliknya menekankan kepada penjimatan wang negara melalui Bajet 2015 yang dibentangkan kerajaan sebelum ini.

Jelasnya, kerajaan mengambil sikap membelanjakan wang negara ke arah keperluan rakyat serta urus tadbir di negara ini.

Beliau berkata, di peringkat Dewan Negara yang merupakan peringkat tertinggi perbahasan, ada pelbagai pandangan dan idea diberi, sambil memberitahu tidak semestinya pihak kerajaan menyokong setiap perkara.

“Setiap peserta mengambil bahagian dalam perbahasan. Menteri sudah jawab, ruang sudah diberi. Jadi tidak wajar perkara tersebut ditimbulkan kerana ruang perbincangan dan perbahasan sudah selesai di semua pihak, semua diberi peluang dan bebas bersuara khusus dalam sidang rakyat.

“Kalau tidak sokong bajet yang dikeluarkan Perdana Menteri, kita tidak boleh sahkan dan Dewan Negara juga bersikap sebagai ‘pak turut’,” katanya.