• Mohamed Azmin Ali Mohamed Azmin Ali
1 / 1
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM1 juta kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan RM100 ribu masing-masing untuk Terengganu, Pahang dan Perak sebagai bantuan kepada mangsa banjir di negeri berkenaan.

Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas Exco Selangor pagi tadi setelah mengambil maklum situasi banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang terjejas teruk.

"Saya telah berbincang dengan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meneliti langkah – langkah yang perlu diambil dalam membantu negeri–negeri yang terlibat.

"Saya juga telah menghubungi Datuk Husam Musa bagi menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk bersama–sama Kerajaan Negeri Kelantan dalam situasi yang getir pada masa ini," katanya pada sidang media di pejabatnya, di Bangunan Sultan Salahduddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata lagi, selain bantuan kewangan, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan RM200 ribu untuk menggerakkan Misi Bantuan Kemanusiaan kepada mangsa banjir yang terlibat.

"Misi Bantuan Kemanusiaan yang akan diselaraskan oleh Dr. Daroyah Alwi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga melalui Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (Pantas) yang akan turun bagi memberi khidmat bantuan dan khidmat kemanusiaan," katanya.

Selain itu, katanya lagi, Kerajaan Negeri Selangor juga bersetuju untuk memberikan khidmat kerja–kerja pembersihan kawasan banjir dengan penglibatan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor.

"Seluruh jentera PBT Negeri Selangor akan diturunkan untuk kerja–kerja pembersihan sebaik sahaja air semakin surut bagi tujuan pembersihan sampah sarap dan sisa pepejal akibat banjir bagi menjamin kebersihan dan keselamatan rakyat," katanya lagi.