• Majlis Keselamatan Negara
1 / 1
KUALA LUMPUR - Johor menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila dua daerah di negeri berkenaan mula terjejas, manakala keadaan di Pahang, Terengganu, Kedah dan Perak tidak banyak berubah, setakat tengah hari ini.

Di Johor, daerah Kluang dan Muar mula terjejas banjir dengan sebanyak 214 mangsa dipindahkan ke lima pusat pemindahan mulai hari ini.


Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor berkata di Kluang, sejumlah 201 orang termasuk empat bayi daripada 46 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan  manakala 13 penduduk di Bukit Kepong, Muar dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan.

"Kesemua mangsa di Kluang ditempatkan di Balai Raya Kampung Paya Palembang, Balai Raya Mardi, Mukim Renggam, Balai Raya Kampung Mengkibol dan Sekolah Kebangsaan  (SK) Seri Kencana. Penduduk di Bukit Kepong pula dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan," katanya.

Beliau berkata paras air di lokasi terjejas banjir semakin meningkat.

Di Kelantan, keadaan banjir yang semakin buruk menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk turun padang ke negeri itu bagi meninjau situasi semasa bencana tersebut.

Muhyiddin mengarahkan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan yang kini melebihi 32,000 orang.

Beliau turut mengarahkan agar bekalan barangan keperluan seperti makanan ditambah di semua pusat pemindahan sementara (PPS) daripada tiga hari kepada seminggu, antaranya bagi mengelak masalah kekurangan bekalan.

Di Terangganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 31,001 orang berbanding 30,147 pada sebelah pagi tadi. Kesemua mangsa ditempatkan di 98 pusat pemindahan banjir di  empat daerah.

Kebanyakan mangsa dari daerah Kemaman yang kini mencecah 21,381 orang, diikuti Dungun (7,979), Kuala Terengganu (1,369) dan Hulu Terengganu (272).

AKAN MENYUSUL.