• Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (duduk, tiga kiri) beramah mesra dengan mangsa banjir Jaafar Imam Samad, 85, (terbaring) ketika mengadakan lawatan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Muzaffar Shah Lambor Kanan di Parit , hari ini. - Foto Bernama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (duduk, tiga kiri) beramah mesra dengan mangsa banjir Jaafar Imam Samad, 85, (terbaring) ketika mengadakan lawatan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Muzaffar Shah Lambor Kanan di Parit , hari ini. - Foto Bernama
1 / 1
PASIR SALAK - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melawat Perak untuk melihat sendiri keadaan di kawasan-kawasan yang dilanda banjir. Semalam, beliau meninjau keadaan banjir di Kelantan dan Pahang.

Najib tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh pada pukul 11.30 pagi dari Kuala Lumpur, dan meneruskan perjalanan melalui jalan darat untuk melawat beberapa pusat pemindahan banjir yang menempatkan mangsa banjir dari daerah Perak Tengah.

Lokasi pertama yang dilawati beliau ialah pusat pemindahan banjir di Pusat Latihan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Galah di sini yang menempatkan 654 mangsa daripada 168 keluarga.

Perdana Menteri kemudian melawat pusat pemindahan banjir di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak di sini yang menempatkan 1,023 mangsa daripada 267 keluarga.

Dalam lawatan itu, Najib diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga anggota Parlimen Pasir Salak.

Di kedua-dua pusat pemindahan itu, Perdana Menteri meluangkan masa hampir 30 minit bertanya khabar mangsa dan juga sukarelawan serta kakitangan pelbagai agensi yang bertugas di situ selain meninjau kemudahan yang disediakan di pusat pemindahan berkenaan.

Beliau yang mengenakan pakaian kasual dan bertopi berwarna kuning cair kemudian menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk melawat kawasan terjejas banjir di beberapa kawasan di Perak Tengah terutama di Kampung Gajah.

Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 7,813 mangsa hari ini berbanding 7,539 mangsa malam tadi. Perak Tengah mempunyai 4,220 mangsa banjir yang ditempatkan di 20 pusat pemindahan. - Bernama