Jawatankuasa teknikal pelengkap wujud persefahaman
KOTA BHARU - Perjanjian penubuhan jawatankuasa teknikal yang dimeterai
Pas dan Bersatu pada 1 Februari lalu dilihat satu inisiatif untuk
melengkapkan usaha mewujudkan persefahaman dan kerjasama politik antara
parti-parti pembangkang.
Penganalisis Politik, Dr Rusdi Omar berkata, kerjasama politik ini
dilihat akan merintis ke arah pembentukan permuafakatan politik yang
lebih kukuh antara parti-parti pembangkang untuk berdepan BN secara satu
lawan satu.
“Adakah ia akan menjadi kenyataan atau khayalan semata-mata?
Bagaimanapun saya melihat usaha pembentukan permuafakatan dan kerjasama
politik antara kedua-dua parti ini menjadi realiti.
“Masih samar dan sukar menjadi kenyataan kerana Pas terus berkeras
untuk menolak kerjasama dengan parti-parti politik yang mempunyai
hubungan dengan DAP dan Amanah, sebagaimana ditegaskan oleh
pemimpin-pemimpin utama Pas sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian di
sini, semalam.
Pertemuan Pas dan Bersatu 1 Februari lalu mencapai kata sepakat untuk
menubuhkan satu jawatankuasa teknikal bersama bagi memperhalus draf
rangka kerjasama persefahaman politik kedua-dua parti, ia juga boleh
dianggap sebagai ‘penutup’ kepada segala kontroversi sebelum ini yang
mengaitkan kedua-dua parti ini sudah tidak boleh bekerjasama.
Rusdi yang juga Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni Universiti Utara
Malaysia (UUM) berkata, tindakan Pas yang berterusan menolak DAP dan
Amanah untuk bekerjasama dalam PRU14 memungkinkan kerjasama Bersatu dan
parti itu juga terkubur walaupun kedua-duanya sudah capai kata sepakat
untuk menubuhkan satu jawatankuasa teknikal bersama.
“Draf rangka kerjasama dan persefahaman politik ini juga akan
diserahkan kepada pimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk diperhalusi.
Ini membawa makna yang jelas bahawa ia masih menunggu persetujuan
peringkat tertinggi parti, untuk menentukan hala tuju sebenar kerjasama
itu. Bermakna segala-galanya masih kabur dan di awang-awangan,” katanya.
Rusdi berkata, walaupun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan
pemimpin tertinggi PKR, Datuk Seri Azmin Ali optimis tentang kerjasama
politik antara Pas dan Bersatu khususnya dalam menghadapi PRU14, dia
merasakan sebaliknya.
“Saya pesimistik bahawa kerjasama politik ini boleh berjaya kerana
syarat Pas yang tidak masuk akal sebelum ini apabila bertegas tidak akan
bekerjasama dengan parti-parti politik yang ada hubungan kerjasama
politik dengan DAP dan Amanah,” katanya.
Menurutnya lagi, adalah tidak logik untuk Bersatu tidak bekerjasama
dengan DAP dan Amanah kerana parti itu telah menandatangani perjanjian
kerjasama dengan Pakatan Harapan sebelum ini malah telah bersepakat
untuk bekerjasama bagi menghadapi PRU14 nanti.
“Sama ada berjaya atau tidak, peluang untuk mewujudkan sebuah gabungan
parti-parti politik pembangkang yang utuh dan kuat bergantung kepada
kebijaksanaan pemimpin mereka dalam menyelesaikan
permasalahan-permasalahan yang timbul.
Pendekatan mereka perlulah inklusif dan mengetepikan sikap partisan
serta perbezaan ideologi serta mencari kebersamaan demi kepentingan
semua pihak. Realitinya, permuafakatan atau kerjasama politik antara Pas
dan parti-parti politik terutama dengan Bersatu ini masih jauh lagi,”
katanya.
3 orang berkata:
Pas lingkup kan bagus.
Knapa nak risau?
Kat arab pun x ada pas
Umno dan Pas melingkup..Melayu dan Islam lebih selamat.
Jom gi apim bank ambik pitih
Post a Comment