Pembunuhan Kim Jong-nam dirancang
KUALA LUMPUR - Siasatan polis mendapati pembunuhan abang pemimpin Korea
Utara Kim Jong-nam minggu lalu dipercayai memang sudah dirancang dengan
beberapa siri latihan pembunuhan dijalankan terlebih dahulu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dua wanita yang
ditahan berhubung kes itu dikatakan telah membuat beberapa latihan dan
dilatih di sebuah pusat beli-belah serta sebuah pusat konvensyen di sini
sebelum melaksanakan tugasan tersebut.
"Berdasarkan siasatan, kami dapati mereka melakukan beberapa latihan
untuk melaksanakan tugas itu... sebelum akhirnya (melakukannya) ke atas
subjek," katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Dua suspek tersebut, seorang wanita berumur 28 tahun menggunakan
pasport Vietnam tertera nama Doan Thi Huong dan seorang wanita berumur
25 tahun menggunakan pasport Indonesia dengan nama Siti Aishah, kini
ditahan reman.
"Mereka tahu bahan itu adalah beracun untuk membunuh si mati.
"Pada mulanya, Siti Aishah menyapukan tangannya ke muka si mati sebelum
diikuti suspek pemegang pasport Vietnam yang turut melakukan perkara
yang sama. Kedua-dua suspek kemudian terus ke tandas untuk mencuci
tangan mereka sejurus selepas serangan itu. Mereka tahu ia beracun.
"Kami amat percaya perkara ini dirancang terlebih dahulu dan mereka
dilatih untuk melakukannya... mustahil mereka tidak tahu (ia beracun
atau hanyalah satu gurauan)," kata Khalid yang turut mengangkat
tangannya sendiri bagi menunjukkan lakonan semula kejadian tersebut.
Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2)
dekat sini pada 13 Februari sementara menunggu penerbangannya ke Macau
apabila diserang dua wanita dengan mukanya dilap dengan cecair beracun.
Beliau dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Khalid menjelaskan, empat suspek warga Korea Utara yang telah lari ke
Pyongyang ketika ini, dipercayai menyembur cecair beracun ke tangan dua
wanita tersebut sebelum pembunuhan itu berlaku.
Kedua-dua wanita itu ditahan secara berperingkat bersama-sama seorang
lelaki Korea Utara yang dikenali Ri Jong Chol, 47, bagi membantu
siasatan.
Jong-nam ke Malaysia pada 6 Februari menggunakan pasport dengan nama Kim Chol.
Beliau berkata siasatan polis masih berjalan merangkumi pelbagai sudut
dan tidak menolak kemungkinan siasatan akan mengambil masa. - Bernama
1 orang berkata:
Apa itu RUU 355?
Rujuk link dibawah;
https://www.youtube.com/watch?v=gnp_sCeLmyY
Post a Comment