Bilakah patik dikatakan angkuh dan sombong?
SUSULAN laporan berita kenyataan Sultan Johor, Sultan
Ibrahim Sultan Iskandar mengenai kegagalan dua menteri besar Johor
sebelum ini gagal mentadbir negeri itu dengan baik, Tan Sri Muhyiddin
Yassin tampil membuat warkah terbuka berkaitan hal itu.
Berikut adalah kenyataan penuh Muhyiddin yang dipetik daripada laman Facebooknya.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Terlebih dahulu patik merafak sembah memohon jutaan keampunan daripada
Duli Yang Maha Mulia Tuanku di atas warkah patik yang tidak sepertinya
ini. Patik terpaksa menjawab secara terbuka titah Tuanku mengenai patik
yang telah dibuat secara terbuka dan pada hemat patik telah sedikit
sebanyak mencemar nama baik patik.
Walaupun Tuanku tidak menamakan patik secara khusus dalam titah
tersebut, tetapi ramai pihak mentafsir bahawa patiklah yang Tuanku
maksudkan.
Bukanlah niat patik untuk menderhaka kepada Tuanku dengan menulis
warkah ini secara terbuka. Niat patik hanyalah untuk membersihkan nama
baik patik yang kini telah dilihat sebagai seorang yang angkuh dan
sombong sepertimana yang telah dititah oleh Tuanku.
Tuanku sendiri tahu bahawa patik tidak pernah bersikap angkuh dan
sombong terhadap Tuanku. Ketika patik menjadi Menteri Besar Johor dan
Tuanku adalah Pemangku Raja, hubungan kita amat akrab.
Banyak hal-hal
berkaitan pemerintahan negeri yang Tuanku kongsikan dengan patik dan
patik telah mengurus Negeri Johor menjadi antara negeri termaju di
Malaysia waktu itu. Hal ini telah diketahui umum dan tercatat dalam
rekod negara.
Seingat patik, tidak pernah berlaku di zaman patik menjadi Menteri
Besar, kerajaan negeri Johor tidak mempunyai wang yang cukup untuk
membayar gaji kakitangan awam. Perbelanjaan diurus secara berhemah dan
kerajaan negeri tidak berhutang atau meminjam untuk membayar gaji.
Sebaliknya patik telah menubuhkan Tabung Amanah Warisan Johor di mana
wang pampasan pembinaan Empangan Linggui berjumlah lebih RM300 juta yang
diterima oleh Kerajaan Negeri Johor telah dimasukkan ke dalam tabung
ini untuk kegunaan generasi akan datang.
Kerajaan negeri Johor sebenarnya mempunyai lebihan wang untuk
dibelanjakan. Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor juga adalah
antara perbadanan kemajuan ekonomi negeri yang paling berjaya.
Ekonomi negeri Johor tumbuh pesat pada kadar purata 6.7 peratus dari
tahun 1991 hingga 1995. Dalam tempoh yang sama, pendapatan isi rumah
kasar bulanan meningkat dari
RM1,152 kepada RM2,138 dan kadar kemiskinan juga berjaya dikurangkan
daripada 9.8 peratus kepada 3.1 peratus. Ini menunjukkan bahawa rakyat
negeri Johor telah menikmati kemajuan ekonomi yang pesat sewaktu patik
menjadi Menteri Besar.
Patik juga telah menangani masalah perpecahan Melayu Johor dengan
menganjurkan perhimpunan Melayu Johor. Krisis pindaan perlembagaan tahun
1993 yang melibatkan soal imuniti Raja-Raja Melayu juga ditangani
dengan baik.
Ketika patik menjadi Menteri Besar, patik telah menjalin kerjasama yang
baik dengan pegawai kerajaan dan rakyat. Urusan negeri dijalankan tanpa
campur tangan dari pihak luar termasuk Istana.
Waktu itu Almarhum Tuanku Sultan Iskandar tidak mencampuri perjalanan
Kerajaan Negeri atau terlibat secara langsung dalam politik atau
perniagaan. Patik jalankan semua urusan pentadbiran negeri berdasarkan
dasar-dasar yang memberi faedah kepada rakyat.
Tidak ada tanah negeri Johor yang terlepas milikan secara kekal ke
tangan warganegara asing. Tanah-tanah yang dipindah milik kepada para
pelabur asing untuk tujuan pelaburan dalam bidang perindustrian waktu
itu hanyalah berstatus pegangan pajak (leasehold).
Apabila tempoh pajakan berakhir, tanah-tanah tersebut perlu diserah
semula kepada kerajaan. Tidak ada tanah yang tergadai kepada warga
asing.
Sebaliknya, pembangunan yang pesat dalam bidang perindustrian telah
berjaya menyumbangkan kemakmuran serta impak positif yang signifikan
kepada ekonomi negeri Johor keseluruhannya.
Malah ianya telah berjaya membuka peluang pekerjaan kepada bukan saja
rakyat Johor tetapi juga kepada rakyat Malaysia di negeri lain yang
berhampiran.
Pada waktu itu, kerjasama dengan Kerajaan Pusat di bawah pimpinan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad begitu akrab dan peruntukan yang
banyak dicurahkan untuk memajukan negeri Johor.
Patik juga diberi kebenaran untuk mengadakan hubungan kerjasama dengan
Singapura secara langsung kerana sedar tentang begitu pentingnya
Kerajaan Johor bekerjasama dengan Singapura bagi faedah rakyat negeri
Johor.
Malahan selepas patik berhijrah ke Kuala Lumpur dan menjawat jawatan
Menteri Pusat, negeri Johor senantiasa diberikan perhatian dan layanan
yang adil. Patik masih ingat, ketika patik menjawat jawatan Timbalan
Perdana Menteri dan Tuanku baru sahaja ditabalkan menjadi Sultan, Tuanku
menitahkan patik supaya menasihati Tuanku tentang bagaimana untuk
memajukan lagi negeri Johor. Patik dengan amat berbesar hati menjunjung
titah Tuanku.
Bilakah patik dikatakan angkuh dan sombong?
Patik dikatakan angkuh dan sombong selepas patik tidak lagi berada di
dalam kerajaan setelah dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan
Timbalan Presiden Umno kerana menentang kemungkaran yang dilakukan oleh
Najib (Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak).
Patik masih ingat sewaktu patik mengadap Tuanku selepas dipecat di
waktu itu pun Tuanku menyatakan simpati dengan apa yang berlaku terhadap
patik. Nyata, Tuanku murka dengan perlakuan Najib yang menyingkir
patik.
Patik dikatakan angkuh dan sombong selepas patik menegur penjualan
hartanah berstatus hak milik kekal di Forest City kepada warganegara
asing atas sebab mempertahan kedaulatan negeri dan negara.
Apa yang patik lakukan selama ini adalah semata-mata untuk
mempertahankan rakyat dan negara daripada kerosakan yang sedang
dilakukan oleh Najib.
Jika patik dikatakan angkuh dan sombong hanya semata-mata kerana patik
berjuang menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran demi membela
kepentingan rakyat dan negara, maka biarlah rakyat yang membuat
penilaian.
Akhirnya, patik sekali lagi merafak sembah memohon keampunan daripada Tuanku di atas warkah patik yang tidak sepertinya ini.
Patik sentiasa mendoakan kesejahteraan Tuanku dan mudah-mudahan negeri
Johor sentiasa dilimpahi rahmat kemajuan, keamanan dan kemakmuran di
bawah naungan Tuanku.
Amin ya rabbal alamin.
***Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
1 orang berkata:
Terbaek...
Post a Comment