Beri tempoh 3 hari ganti dengan telefon asli
SEREMBAN – Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN) memberi tempoh
tiga hari bermula semalam, kepada pemilik sebuah kedai telefon bimbit di
Terminal 1 di sini, untuk menggantikan telefon bimbit baharu yang asli
kepada seorang pelajar kolej yang mendakwa ditipu dalam kejadian 12 Mei
lalu.
Presiden, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, jika pemilik premis masih
tidak mengendahkan amaran itu beliau akan membawa perkara itu kepada
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
Negeri Sembilan untuk diambil tindakan lebih tegas.
“Saya terpanggil untuk membantu mangsa lebih-lebih lagi dia merupakan
seorang pelajar. Kita tak mahu duit, tapi nak ganti dengan telefon
bimbit baru yang asli. Lagipun kejadian pembeli telefon bimbit ditipu di
sini bukan pertama kali berlaku.
“Sebelum ini pun saya telah membawa perkara ini ketengah, tapi
nampaknya sejak kebelakangan ini ia berulang semula dan mereka
seolah-olah mempermainkan hak pengguna terutamanya membabitkan
pelajar,”katanya pada sidang media diadakan di Terminal 1 di sini.
Hadir sama mangsa, Jaya Suri Abdullah,18, dan Pengerusi Persatuan Pembangunan Masyarakat (PPMM), Mohd Aryan Khalish Arumugam.
Selain itu Razali berkata, KPDNKK juga digesa untuk turun padang
melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan
kejadian sama tidak berulang lagi.
Razali berkata, sebagai sebuah badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)
beliau akan terus memperjuangkan isu tersebut bagi mempertahankan hak
pengguna.
“Kejadian seperti ini perlu dihebahkan supaya ia dapat beri kesedaran kepada orang ramai apa hak mereka selaku pengguna.
“Kita jangan biar peniaga mempermainkan hak kita dan pada masa sama
peniaga juga perlu sedar tentang tanggungjawab mereka,” katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan mangsa, kecewa apabila menyedari
telefon bimbit jenis Samsung J5 yang dibeli dengan harga RM890 adalah
tiruan apabila ia rosak selepas seminggu digunakan.
0 orang berkata:
Post a Comment