Contohi budaya politik matang Abdul Hadi, Shabery
KOTA BHARU - Pemimpin Umno dan Pas seluruh negara perlu mencontohi
budaya politik matang dan sejahtera yang ditunjukkan di Terengganu oleh
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ahli Majlis Tertinggi
Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara
Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini kerana budaya
tersebut bertepatan dengan kehendak majoriti rakyat yang menolak politik
kotor berasaskan emosi, provokasi, benci, fitnah dan dendam.
“Rata-rata rakyat bosan dan muak dihadapkan dengan politik konfrontasi
berpanjangan yang tidak menguntungkan kerana membawa perpecahan,
ketegangan dan ketidakstabilan. Sebab itu Shabery dan Hadi wajar dipuji
kerana boleh mengetepikan perbezaan politik kepartian untuk mengundang
dan menerima undangan hadir dalam program kerajaan bagi kepentingan
rakyat.
“Tidak dinafikan bahawa perseteruan antara Umno dan Pas sudah terlalu
lama, walaupun begitu bila pemimpin tinggi kedua-dua parti mempamerkan
kematangan mereka maka pastinya golongan akar umbi akan mencontohi,”
katanya kepada Sinar Harian di sini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk
Takiyuddin Hassan, mengenai pertemuan antara Hadi dan Shabery baru-baru
ini.
Menurutnya, tiada apa yang perlu disensasikan dalam kehadiran Hadi pada
majlis pelancaran program tukun tiruan anjuran Shabery di Pulau Kapas
itu kerana Hadi adalah Ahli Parlimen Marang manakala Shabery pula adalah
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Kamarul Zaman, yang juga Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam
Malaysia berkata, program sebegini jauh lebih bermanfaat kepada
kehidupan rakyat, keharmonian masyarakat dan kemakmuran negara
berbanding budaya sepanjang masa menelanjangkan satu sama lain yang cuba
diterapkan oleh parti-parti tertentu.
“Sebelum ini, jika pemimpin Kerajaan Pusat tidak mengundang pemimpin
parti pembangkang dalam program mereka, kecaman akan dibuat kerana
kononnya kerajaan mengamalkan politik dendam, jadi bila ruang dibuka ia
perlu dimanfaatkan.
“Budaya berpolitik tanpa mengira masa dan waktu seharusnya ditinggalkan
kerana ia merugikan, lihat sahaja bangsa lain di negara ini mahupun di
negara ini yang jauh lebih matang dalam berpolitik berbanding dengan
bangsa kita yang sentiasa bergaduh.
“Kalau mahu dijadikan isu, banyak lagi pertemuan antara pemimpin
kerajaan dan pemimpin parti pembangkang lain, termasuk DAP, PKR dan
Amanah, yang berlaku sebelum ini tetapi ia tidak pula disensasikan,”
katanya.
Kamarul berpendapat, kritikan ke atas Hadi ini didorong oleh perasaan
dendam pihak tertentu terhadap beliau ekoran ketegasan beliau
mempertahankan prinsip perjuangan dan tidak membenarkan Pas diperkuda
oleh pihak lain.
“Kita perlu hormat kepada Pas dan tidak menyindir atau memperkecil
parti itu, Malaysia adalah negara demokratik dan biarlah rakyat
menentukan penerimaan mereka ke atas konsep budaya politik matang dan
sejahtera Pas dalam PRU14.
“Pemimpin Umno di negeri lain, termasuk di Kelantan, wajar turut
mengamalkan budaya politik matang dengan tidak membuat provokasi
keterlaluan terhadap Pas selaras pesanan presiden parti itu sewaktu
berkunjung ke sini dulu,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment