Langkah Kajang Direncana Tanpa Persetujuan Biro Politik, Kata Ahli MPT PKR
KUALA LUMPUR – Penasihat Undang-Undang PKR, Latheefa Koya
mendedahkan bahawa Langkah Kajang yang direncanakan oleh Naib Presiden
PKR, Rafizi Ramli tidak pernah mendapat persetujuan untuk dilaksanakan.
Dalam status Facebook yang dimuat naik semalam `untuk mendedahkan
kebenaran mengenai sahabat kita ini’, Latheefa berkata, selama ini
beliau menahan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan, namun
tindakan Rafizi secara berterusan cuba menyalahkan orang lain serta
mengeluarkan tuduhan demi tuduhan nyata bertentangan dengan perundangan
parti.
“Saya mengambil keputusan untuk mendedahkan perkara sebenar tentang
Rafizi, perkara di mana rakyat Malaysia masih belum mengetahuinya.
“Budak ini geng ponorogo penipu. Ya arkitek Langkah Kajang ini
sekarang cuba menyalahkan orang seperti Ambiga (Datuk S. Ambiga) yang
sebelum ini menentang langkah itu. Dia (Rafizi) tidak boleh
memperbodohkan saya (kerana) saya ada bersama sepanjang episod itu,”
katanya dalam entri berkenaan.
Menurut Latheefa, Langkah Kajang direncanakan oleh Rafizi bertujuan
melucutkan jawatan Menteri Besar Selangor yang pada ketika itu dipegang
oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selain bagi memastikan kerusi itu
tidak jatuh ke tangan Datuk Seri Mohammed Azmin Ali yang ketika itu
sudah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurutnya, walaupun Langkah Kajang tidak pernah mendapat
persetujuan untuk dilaksanakan, namun perancangan terus dilakukan oleh
Rafizi secara ‘senyap’ tanpa pengetahuan biro politik parti.
Jelasnya, tindakan itu turut menyebabkan hubungan antara PKR dengan
Pas menjadi tegang ekoran daripada keputusan Presiden parti itu, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang tidak bersetuju dengan Langkah Kajang.
“Mereka meyakinkan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bahawa DAP dan
Pas sudah bersetuju, namun pada hakikatnya Pas tidak pernah bersetuju.
‘Orang’ beliau (Rafizi) pergi ke Kelantan dan mendakwa telah mendapat
restu daripada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kata Latheefa, perkara buruk akibat tindakan itu boleh dielakkan dan
Anwar mungkin masih bersama parti sekarang jika tidak kerana Langkah
Kajang.
“Saya bertanya kepada beliau (Rafizi) bagaimana jika Anwar disabitkan
dengan kesalahan (kerana pada masa itu, rayuan pihak pendakwaan
terhadap kes Anwar masih ditetapkan untuk pengurusan kes), anda tahu apa
jawapan beliau? Opss saya tidak pernah terfikir tentang perkara itu.
Berani atau tidak beliau menafikan pernah berkata seperti itu kepada
saya?” soalnya.
Anwar dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan
meliwat pada 7 Mac 2014, beberapa hari sebelum penamaan calon Pilihan
Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang diadakan dengan
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diletakkan sebagai calon mewakili
PKR. – UTUSAN
1 orang berkata:
Ya jahat rafizi ni, hadi sila buat fatwa haramkan rafizi, jgn kasi dia masuk syurga.
Post a Comment