Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei
 
SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini semalam menangguhkan perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang didakwa atas Akta Hasutan sehingga 9 Julai depan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Hakim Slamat Yahya menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan peguam Aston Paiva berhubung notis mengetepikan tuduhan oleh Shuhaimi yang telah difailkan ke Mahkamah Rayuan.


“Mahkamah Rayuan menetapkan 4 Julai ini untuk perbicaraan kes.


“Sementara itu, Mahkamah Tinggi telah membenarkan kes di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sehingga keputusan Mahkamah Rayuan didengar,” katanya.


Pada 7 Februari tahun lalu, Shuhaimi dikenakan tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataan di blognya yang menyentuh kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.


Dia didakwa menerbitkan artikel bertajuk “pandangan saya berasaskan undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor 1959” yang didakwa mengandungi ayat-ayat menghasut.


Jika sabit kesalahan, Shuhaimi, 43, berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.


Beliau yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR didakwa melakukan kesalahan itu di pusat khidmatnya di Kota Kemuning di sini, pada 30 Disember 2010.


Pada 1 April tahun lalu, Shuhaimi memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi di sini bagi mengetepikan tuduhan terhadapnya atas alasan akta tersebut tidak sah, bercanggah dengan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan.


Bagaimanapun, mahkamah itu menolak permohonan Shuhaimi dan permohonan diteruskan di Mahkamah Rayuan.