SHAH ALAM - Sekretariat Bersih 2.0 mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf atas kenyataan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz mencadangkan agar Pengerusi Bersamanya, Datuk S. Ambiga "digantung" jika telah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong kerana mengadakan perhimpunan Bersih 3.0.

"Najib sewajarnya memohon maaf atas tindakan ahli-ahli Parlimen yang meminta agar Ambiga digantung dan diambil tindakan disiplin," kata satu kenyataan Bersih 2.0, yang dikeluarkan lewat semalam.

Kenyataan itu mendakwa, selain Mohamad, Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah juga menyokong hujah itu di Parlimen Selasa lalu.

 
Kenyataan Bersih 2.0 menambah, pandangan dibuat wakil rakyat berkenaan menggambarkan satu kebencian peringkat terendah terhadap pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan itu, yang bermula dengan protes burger dan senaman 'tidak senonoh' di depan rumah Ambiga bulan lalu.

"Tawaran Mohamad Aziz hari ini (semalam) untuk menarik balik kenyataan sedemikian jika telah menyinggung kawan-kawannya, kaum India, MIC, PPP dan menjejaskan semangat Barisan Nasional (BN) menunjukkan keangkuhan meskipun berhadapan dengan kecaman dari seluruh negara," kata kenyataan itu lagi.

Kata kenyataan itu lagi, jika benar Ambiga telah menderhaka, maka kesemua ahli jawatankuasa Bersih 2.0 dan 250,000 rakyat Malaysia seharusnya disabitkan kesalahan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat petang semalam, Mohamad berkata beliau menarik balik kenyataannya mengenai Ambiga digantung kerana menderhaka, walaupun diputuskan beliau tidak bersalah dalam hal itu.

"Saya seorang rakyat yang ada disiplin, parti saya parti yang berdisiplin dan berhubung kenyataan itu kalau ia menyinggung perasaan rakan-rakan saya orang India, pemimpin-pemimpin MIC, PPP dan dalam menghormati semangat persefahaman dalam BN, saya menarik balik semua kenyataan saya berhubung isu itu," katanya.

Mohamad berbuat demikian selepas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memohonnya menarik balik kenyataan itu walaupun memutuskan kenyataan Mohamad itu bukan suatu kesalahan kerana ia hanya suatu persoalan dan tidak bersifat perkauman mahupun ugutan.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012 bagi Kementerian Dalam Negeri pada Selasa lalu, Mohamad mengemukakan pertanyaan berbunyi "apakah Ambiga tidak boleh kita anggap penderhaka kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan hukum gantung kepada dia?"

Wan Junaidi dalam keputusannya berkata, dalam isu itu Mohamad tidak melakukan sebarang kesalahan kerana kenyataan yang dibuat adalah berlandaskan persoalan.

"Kenyataan itu berlandaskan persoalan... jadi ia bukan satu kesalahan. Sri Gading (Mohamad) tanya boleh atau tidak.


"Yang Al-Maunah sudah dihukum di mahkamah, yang ini (Ambiga) dia (Mohamad) tanya boleh ke tidak. Sama ada menteri buat jawapan atau tidak, itu persoalan lain," kata Wan Junaidi yang turut meminta keputusannya tidak dipolitikkan.

 
Dalam kenyataan awal semalam, Mohamad berkata, beliau tidak akan memohon maaf.
Kelmarin, Setiausaha Agung Umno dan BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata apa yang diperkatakan oleh Mohamad adalah pandangan peribadi, tidak mewakili parti.