Speaker tegur anggota Parlimen
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia 
 
KUALA LUMPUR - Sikap segelintir Anggota Parlimen yang suka berpolitik semasa berhujah pada persidangan Dewan Rakyat ditegur Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini yang menyifatkan perbuatan itu hanya membuang masa dewan.
  
Katanya, Anggota Parlimen seharusnya menggunakan peluang yang diberi untuk berhujah perkara yang sepatutnya terutama pada sesi soal jawab dan meninggalkan politik di luar Dewan.
  
"Berucap panjang kalau tak ada isi serupa dengan ucapan pendek tapi padat. Timbanglah sikit pada pegawai Parlimen yang sampai jam 12 pagi (tengah malam menunggu urusan dewan selesai) duduk di sini. Kalau saya hadkan masa (berhujah) semua melenting, tidak cukup masa... tapi bila bagi peluang hujah semua politik.

"Sudahlah...(jangan) politik itu dalam dewan, biarlah politik di luar sana. Tak tidur pun tak apa," katanya.

  
Terdahulu, Pandikar Amin menegur M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang bangununtuk bertanya soalan tambahan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar semasa sesi soal jawab menuduh kononnya kementerian itu banyak mengadakan program yang melibatkan anggota Umno semata-mata.

Tuduhan bertubi-tubi Kulasegaran yang turut mengaitkan peribadi menteri serta beberapa Anggota Parlimen lain mengundang kemarahan Pandikar Amin dan mengarahkannya supaya duduk.
   
"Saya cukup sabar pada sidang kali ini. Sesiapa pun yang saya panggil untuk bertanya tapi kalau buat macam Ipoh Barat, lain kali kalau saya tidak panggil lagi jangan salahkan saya...kerana setiap soalan yang saya dengar dari Yang Berhormat (Kulasegaran) mesti ada konotasi politik. Boleh tak itu hilangkan dahulu?" tegasnya.
  
Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang bangun untuk mengingatkan Pandikar agar tidak memberi peluang lagi kepada Kulasegaran turut menerima menerima teguran apabila Speaker secara sinis berkata: "Pasir Mas, saya tidak jemput Pasir Mas (untuk bangun berucap)."
- Bernama