Keadaan Exco Pahang Stabil
Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak
KUANTAN - Keadaan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh masih kritikal.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata semasa melawat Exco itu di hospital pada Jumaat lepas, doktor memaklumkan keadaan beliau masih kritikal.


"Saya dimaklumkan oleh doktor yang merawat beliau bahawa beliau masih kritikal dan kita sama-sama berdoa semoga beliau cepat sembuh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Bank Al-Rajhi cawangan Kuantan di sini, hari ini.


Katanya, buat masa ini tugas Tan Mohd Aminuddin digalas secara bergilir-gilir oleh anggota Exco yang lain.


"Contohnya untuk tugas membabitkan Sukan Malaysia, digalas oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif," katanya. Tan Mohd Aminuddin dihantar ke Hoshas pada 11 pagi, 8 Jun lepas oleh anggota keluarganya kerana keracunan makanan dan komplikasi penyakit lain sebelum ditempatkan di ICU untuk rawatan lanjut. – Bernama