Dr Mohd Fadhli Datuk Hassan
Dr Mohd Fadhli Datuk Hassan
KOTA BHARU - Pas Kelantan mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang seolah-olah menyindir Kerajaan Negeri dengan menggunakan pelbagai gimik untuk menyediakan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai apabila memberi peluang kepada rakyat memberikan sumbangan.

Ketua Penerangannya, Dr Mohd Fadhli Datuk Hassan menyifatkan kumpulan tersebut adalah golongan yang tidak memahami dosa dan pahala apabila Kerajaan Kelantan membuka peluang kepada rakyat memberi sumbangan untuk bersama-sama melakukan amal jariah.


Malah katanya, ada di antara pihak tertentu beranggapan Kerajaan Negeri mengutip derma daripada rakyat untuk menampung kos pembinaan lebuh raya sepanjang 73 kilometer yang bernilai RM1.9 bilion, sedangkan ia sebenarnya konsep wakaf.


Menurutnya, sejak pemerintahan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi rakyat bekerjasama dengan kerajaan untuk melakukan kerja-kerja kebajikan termasuk pembinaan jambatan mahupun surau dan masjid di negeri ini.


“Kenapa apabila ada rakyat memberikan sumbangan untuk membina masjid dan surau tiada pihak yang mempersoalkan tetapi setelah rakyat membantu kerajaan menyediakan lebuh raya ada yang mempertikaikan dengan anggapan kita mengutip derma.


“Saya yakin Kerajaan Negeri mampu membina lebuh raya tersebut berdasarkan sumber-sumber yang ada dan tidak perlulah pihak lain mempertikaikannya kerana sebenarnya kita mengotakan janji-janji Barisan Nasional (BN) sebelum ini mahu membina lebuh raya,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Pusat Penerangan Pas di sini, semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan 400 ahli badan bukan kerajaan (NGO) menyertai demonstrasi sukarelawan ‘Tukar Acu Test Sepenggal’ yang diadakan di perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) berhubung pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai.


Pusat penerangan tersebut dirasmikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas mempengerusikan mesyuarat bersama wakil rakyat di Jalan Dato’ Pati di sini, semalam.


Mohd Fadhli berkata, pendekatan membuka peluang kepada rakyat memberi sumbangan itu bukannya untuk mengaut duit rakyat bagi menjayakan janji-janji kerajaan tetapi sebenarnya sebagai pendedahan menggalakkan umat Islam beramal jariah.


“Rakyat juga sedar pembinaan lebuh raya ini penting kepada mereka dan bukan sahaja digunakan oleh orang Islam sahaja, bahkan semua orang akan menggunakannya terutamanya mengatasi masalah kesesakan,” katanya.