Peguam Negara wajar gugur kes Mat Sabu
Lim Guan Eng menunjukkan akhbar Sinar Harian edisi hari ini pada sidang media di Georgetown. 
 
GEORGETOWN - Peguam Negara diminta menarik balik pertuduhan terhadap Mohamad Sabu berhubung isu serangan komunis di Bukit Kepong dalam ceramahnya tahun lalu ekoran keterangan saksi ketika perbicaraan membabitkan Timbalan Presiden Pas itu, semalam.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, ia perlu setelah saksi pertama kes itu, yang juga pengadu, meminta maaf dan mengaku memfitnah Mohamad yang turut dikenali sebagai Mat Sabu dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Butterworth.


“Perkara ini jelas menunjukkan polis sudah menganiayai Mat Sabu sehingga sanggup membuat fitnah terhadapnya. Ini satu perbuatan jahat.

"Sehingga sekarang, tiada sebarang maklum balas daripada pihak pendakwa raya dan Peguam Negara untuk menarik balik kes ini dan membebaskan Mat Sabu," kata beliau pada sidang media di pejabatnya, hari ini.


Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, demi keadilan dan kedaulatan undang-undang, mereka perlu menarik balik kes itu kerana saksi pertama sudah mengaku membuat fitnah terhadap Mat Sabu.


Sementara itu, Mat Sabu yang turut hadir berkata, beliau tidak berniat untuk menyaman saksi utama kes itu, Visva Nathan, 75, yang sudah meminta maaf secara terbuka di mahkamah.


“Saya tidak sampai hati untuk menyamannya kerana sudah meminta maaf secara terbuka di hadapan hakim serta faktor umurnya," katanya lagi.


Bagaimanapun, beliau menegaskan saman terhadap akhbar yang melaporkan berita itu akan diteruskan.


Perbicaraan di mahkamah semalam menjadi riuh apabila Visva yang merupakan saksi pertama tiba-tiba meminta maaf kepada Mat Sabu dan meminta agar mahkamah membebaskan beliau.


Visva juga membuat pengakuan memfitnah Mat Sabu dan meminta maaf kerana membuat laporan polis dengan merujuk semata-mata kepada laporan akhbar.