Isu PTPTN
$entry.content.caption.value
 
SHAH ALAM - Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor sanggup menyalurkan peruntukan bahagian masing-masing jika Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan sekatan pinjaman ke atas pelajar-pelajar baru Universiti Selangor (Unisel).

Pendirian itu dilahirkan oleh Speaker Dun, Datuk Teng Chang Khim menerusi laman sosial Facebook dan mesej Twitter malam tadi, yang ditujukan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


"Tan Sri, sekiranya perlu, setiap Adun PR sudi menggunakan peruntukan kawasan untuk menaja seorang pelajar Unisel," kata beliau di sebalik kontroversi terbaru berkaitan dengan kemudahan pinjaman kepada penuntut-penuntut Unisel.


PR ada 35 Adun di Selangor. PTPTN, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengesahkan langkah itu diambil tetapi menegaskan hanya bersifat sementara ekoran pendirian PR mahu memperkenalkan pendidikan percuma.


Selain Unisel, pusat pengajian tinggi di bawah penyeliaan Kerajaan Negeri Selangor, penuntut  Kolej Universiti Sains Antarabangsa Selangor (Kuis) juga tertakluk kepada langkah PTPTN itu.


Lewat petang semalam, Kerajaan Selangor mengumumkan tindakan jangka pendek untuk membantu penuntut Unisel yang berhadapan dengan sekatan pinjaman PTPTN.


Khalid berkata, pihaknya memandang berat kesusahan yang dihadapi pelajar-pelajar baru Unisel yang teraniayai ekoran tindakan Kerajaan Persekutuan dan Menteri Pengajian Tinggi yang membekukan PTPTN kepada pelajar di  universiti tersebut.


"Aset ini merupakan hartanah seluas 500 ekar (200 hektar) yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang-hutang Talam.


"Kerajaan Selangor telah selesai menyusun semula hutang-hutang ini di mana tanah seluas 500 ekar (200 hektar) telah menjadi aset Unisel," kata beliau dalam satu kenyataan. Katanya, Kerajaan Negeri akan membantu Unisel  mengapungkan hartanah tersebut di pasaran untuk mendapatkan wang tunai.


"Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil dari usaha ini. "Sebahagian wang ini akan digunakan untuk membantu pelajar-pelajar yang  teraniayai akibat dari tindakan kerajaan BN membekukan PTPTN," kata beliau lagi.