RM3b: Pas tiada halangan SPRM siasat Anwar
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub 
 
KUALA LUMPUR -  Pas hari ini secara terbuka mengakui parti itu tiada halangan sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemilikan 20 akaun induk bernilai RM3 bilion.

Sambil mengalu-alukan siasatan semula itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata bukan saja Anwar, malah parti itu sentiasa terbuka untuk melihat suruhanjaya itu menyiasat siapa sahaja termasuk Mursyidul AM Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


"Bukan saja Anwar, Nik Aziz, malah siapa pun jika perlu disiasat, siasatlah, itu kita tidak ada masalah.


"Kita tidak ada masalah untuk mana-mana pihak membuat siasatan atas

mana-mana tuduhan...itu pendirian rasmi kita," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen ketika ditanya mengenai pendirian Pas berhubung isu pemilikan RM3 bilion Anwar seperti didedahkan dalam akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, Anwar tentunya tidak mempunyai masalah untuk disiasat kerana ketua pembangkang itu sendiri telah menyatakan sedia untuk bekerjasama malah berani untuk tampil menjawab tuduhan itu ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012 di Dewan Rakyat Rabu lepas.

 "Anwar juga sedia bangun dan bahas isu ni dalam Parlimen, menunjukkan beliau berani dan tidak akan lari dari masalah," katanya.

Abdul Murad dilaporkan mendakwa Anwar mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion dalam pendedahannya pada kira-kira 13 tahun lalu.

Berhubung desakan Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan yang mahu beliau meminta maaf kepada masyarakat India di negara ini kerana mengeluarkan kenyataan yang menyamakan perarakan sempena Thaipusam dengan demonstrasi jalanan, Salahuddin berkata, isu tersebut tidak akan timbul sekiranya pihak yang membuat dakwaan faham bahasa Melayu sepenuhnya.


Katanya, beliau langsung tidak berniat untuk menghina apabila menjadikan perarakan membawa Kabadi semasa perarakan itu sebagai satu daripada contoh, kerana maksud sebenar adalah bagi menggambarkan walaupun pembawa kabadi berada dalam keadaan separuh sedar, perarakan itu masih berlangsung dalam keadaan aman tanpa adanya provokasi pihak tertentu.


"Saya langsung tidak berniat menghina agama Hindu dengan kaitkan Thaipusam dengan perhimpunan jalanan, malah yakin sekiranya boleh memahami bahasa Melayu dengan baik, mereka boleh faham apa yang saya maksudkan," katanya.


Selain mahu Salahuddin meminta maaf, parti itu juga mahu beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenyataan tersebut, yang dibuatnya pada debat bertajuk `Demonstrasi Jalanan: Mengukuh atau Meruntuh Demokrasi' pada Selasa lepas.


Malahan parti itu juga telah membuat laporan polis terhadap Salahuddin, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur  perkauman dan berbaur hasutan. - Bernama