HASBULLAH MOHD RIDZWAN
$entry.content.caption.value
SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor menyokong tindakan Kerajaan negeri menyaman MCA berhubung dakwaan penyelewengan RM1 bilion untuk menyelamatkan syarikat pembinaan Talam Corporation Sdn. Bhd.

Ketua Pemudanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, ia kerana dakwaan dibuat oleh Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong itu sebagai tidak berasas dan mencemarkan imej Kerajaan Negeri.


Menurutnya, malah Tee Yong gagal mengemukakan bukti terhadap dakwaan penyelewengan itu walaupun diberi peluang untuk berbuat demikian.

 “Kami amat bersetuju supaya tindakan tegas ini diambil segera bagi menjadi iktibar pengajaran kepada MCA, Barisan Nasional (BN) dan pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab supaya tidak secara sewenang-wenangnya menabur dan menghamburkan fitnah terhadap Kerajaan negeri semata-mata untuk kelangsungan agenda politik sempit mereka.

“Kami berpendapat MCA cuba untuk menjadi populis dengan agenda politik fitnah murahan kerana MCA  semakin ditolak oleh pengundi di Selangor ini dilihat semakin terdesak untuk meraih sokongan rakyat walaupun terpaksa bergantung dengan isu-isu yang kabur dan berunsur fitnah. ,” katanya melalui kenyataan akhbar, hari ini.


Menurutnya, pihaknya menasihatkan  MCA dan BN supaya tidak lagi mencetuskan isu-isu yang berunsur fitnah dan kabur sebaliknya bertukar kepada perubahan politik yang lebih sihat berdasarkan hujah ilmiah dan pembuktian isu yang sahih.


“Janganlah disebabkan kebencian di atas kekalahan di dalam Pilihan Raya Umum lalu maka segala tindakan yang diambil bukan disebabkan keperluan dan kehendak rakyat tetapi semata-mata untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.