Lajim nafi keluar Umno, sertai pembangkang
Datuk Seri Lajim Ukin melambai tangan sebelum beredar dari bangunan Parlimen baru-baru ini. - Foto fail Bernama 
 
TAWAU - Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata mana-mana pemimpin dengan apa-apa jawatan sekalipun, harus berundur secara baik jika sudah tidak yakin dengan parti dan kerajaan yang mereka wakili.

Beliau berkata, pemimpin itu perlu berundur secara sukarela dan terhormat tanpa perlu diberhentikan daripada jawatan yang disandang.

"Di dalam parti dan kerajaan, kita ada peraturan dan etika. Kalau seseorang pemimpin itu, atau menteri itu, atau timbalan menteri itu, tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan parti, atau terhadap kerajaan yang mereka wakili, maka mereka harus berundur secara baik.

"Jangan perlu (tunggu) sampai diberhentikan. Sebagai 'gentleman' kita berhenti," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Umno Zon 6 yang merangkumi kawasan Parlimen Silam, Semporna, Tawau dan Kalabakan di Masjid Al-Kauthar di sini malam ini.

Musa mengulas kenyataan Jabatan Perdana Menteri hari ini yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan membatalkan pelantikan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkuatkuasa serta-merta.

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan kerajaan Malaysia yang diterajui Barisan Nasional (BN) adalah wajar.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Sabah itu menasihatkan semua kepimpinan Umno dan BN di negeri ini agar tidak terikut-ikut atau membuang masa dengan isu Lajim kerana apa yang lebih penting ialah bekerja keras untuk membela nasib rakyat.

Musa juga berkata, kepimpinan Umno dan BN perlu terus memperkukuh perpaduan dan kerjasama selain terus bekerja kuat kerana mereka memikul amanah serta mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

"Kita tidak perlu gentar, kita tidak perlu takut, kerana kita mempunyai kerajaan yang terbaik, pemimpin yang terbaik. Kita ada trek rekod yang terbaik.

"Jadi, apa yang (perlu) kita malukan, apa yang (perlu) kita gentarkan, apa yang perlu kita susahkan. Kita berani kerana benar, takut kerana salah. Kita berada di landasan yang benar. Ini yang saya katakan kepada rakyat negeri Sabah, dan mereka mengerti. Orang Sabah matang berpolitik. Mereka tahu mana kerajaan yang mereka mahu pilih dan mana kerajaan yang mereka mahu sokong.

Jangan susah hati atau gundah gulana. Yang penting kita terus bekerja untuk rakyat dengan keikhlasan, bukan kepentingan peribadi," katanya.


Sehubungan itu, Musa meminta semua pemimpin Umno dan BN di Sabah mengutamakan keikhlasan kepada kerajaan, parti serta pemimpin, bukan kepentingan peribadi, kerana hanya melalui cara itu, kerajaan dan rakyat akan terus hidup sejahtera.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata Malaysia kini berada di landasan yang baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sentiasa berfikir serta prihatin bagaimana untuk mengatasi masalah dan membantu rakyat.

Berbeza dengan pemimpin 'songsang' atau pembangkang, Musa berkata mereka ini pura-pura buta dan pekak terhadap perubahan serta pembangunan yang berlaku di Sabah, namun rakyat mampu menilai mana yang buruk dan baik untuk mereka. - Bernama