19/01/13
Harun Taib: Saya tidak akan tinggalkan Pas
"Saya tidak akan tinggalkan Pas. Tidak ada sebab untuk saya tinggalkan parti ini!"
Demikian tegas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib ketika
menafikan dakwaan dalam sebuah blog bahawa beliau dan Timbalan Mursyidul
Am, Datuk Dr Haron Din akan meninggalkan Pas.
Beliau berkata, dakwaan itu sama sekali tidak benar kerana Pas adalah
platform beliau untuk memperjuangkan agama Islam sejak dulu lagi.
“Mana boleh tinggal Pas. Pas perjuangan saya, wadah perjuangan saya," kata Adun manir itu.
Artikel yang diterbitkan 10 Januari lalu dalam blog terbabit menyebut,
kedua-dua pemimpin Pas itu akan mengumumkan tindakan keluar parti
sedikit masa lagi kerana membantah sokongan Pas terhadap permintaan
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar Bible berbahasa Melayu
dibenarkan menggantikan perkataan tuhan kepada ALLAH.
Memetik blog terbabit, Haron Din dilaporkan telah bercakap kepada
beberapa orang rakan rapat beliau, bahawa beliau secara serius
mempertimbangkan untuk keluar dari Pas dan menumpukan sepenuhnya
kerja-kerja dakwah beliau.
Sementara Harun Taib telah dinasihatkan rakan-rakan rapat beliau agar
kekal dalam Pas, walaupun tidak sependapat dengan Presiden parti, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat.
Mereka juga berharap Harun Taib harus kekal dalam Pas bagi mengimbangi
sokongan ahli Pas yang masih mempercayai perjuangan menegakkan Islam
parti tersebut.
Artikel bertajuk ‘Dua Harun bakal tinggalkan Pas?’ itu dipercayai
diterbitkan semasa kontroversi isu kalimah ALLAH, sebelum ia diputuskan
Majlis Syura Pas yang tidak membenarkan perkataan ALLAH digunakan dalam
kitab Injil pada 13 Januari lepas dan mendapat lebih 150 komen daripada
pelawat blog.
Mengulas isu kalimah ALLAH, Harun berkata, kenyataan yang dibuat beliau
sebelum keputusan Majlis Syura dikeluarkan langsung tidak bercanggah
dengan pendirian Abdul Hadi dan juga Nik Aziz.- SH
0 orang berkata:
Post a Comment