Bawa keluarga saya balik
Shaari minta pihak berkuasa membawa pulang keluarganya secepat mungkin.
Bawa keluarga saya balik
Shaari bersama isteri dan empat anaknya.
MACHANG - Seorang lelaki ‘hilang arah’ apabila empat anak dan isterinya terpaksa ditinggalkan di Indonesia lebih dua minggu lalu kerana tidak mampu membayar denda tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan kerajaan di sana.

Shaari Abdullah, 41, berkata, dia pulang bercuti ke kampung halaman isterinya di Jawa Tengah musim cuti persekolahan lalu tanpa mengetahui had menduduki Indonesia dibenarkan hanya 30 hari.

Katanya, dia tidak tahu membaca dan menulis apatah lagi dalam Bahasa Inggeris, tambahan pula tiada orang memaklumkan perkara itu kepadanya.

“Saya beli tiket pergi balik, kami bertolak ke sana pada 11 November dan balik pada 31 Disember, namun malangnya ketika ingin pulang, saya dimaklumkan kami melebihi tempoh melawat ditetapkan dan dikenakan denda bagi kesalahan tersebut.

“Dendanya bukan sedikit, lebih kurang RM66 sehari dan kami pula ramai. Setelah merayu dan memujuk, tidak berjaya, saya akhirnya mengambil keputusan pulang seorang diri bagi mengusahakan wang denda dan tiket balik untuk keluarga saya.

“Saya bukan orang senang, bergantung hidup dengan bekerja sebagai pemandu jengkaut. Pelbagai cara saya usahakan bagi membawa keluarga saya balik, namun tidak berjaya.

“Diharapkan ada pihak sudi membantu keluarga saya terutama anak-anak yang bersekolah, tetapi terpaksa ditinggalkan di sana. Kehidupan di sana sangat susah, makan nasi tidak berlauk adalah perkara biasa,” katanya.

Shaari berkata, dia membuat pinjaman untuk pulang ke kampung isterinya, Titin Padiyah Ruri memandangkan mereka tidak pernah ke sana sejak berkahwin lebih 13 tahun lalu.

Katanya, jumlah denda itu meningkat setiap hari dan dianggarkan berjumlah lebih RM12,000 sehingga semalam dan ia perkara yang mustahil untuk diusahakannya.

Menurutnya, hidupnya menjadi serba tidak kena memikirkan perkara tersebut dan berharap pihak berwajib membantu menyelesaikan perkara ini.

“Dengan adanya campur tangan pihak berkuasa, saya harap perkara ini akan lebih mudah dan anak-anak saya, Mohamad Sapuan Aziz, 13, Siti Norassyah, 11 dan Mohamad Rahmatullah, 8 dapat meneruskan persekolahan seperti biasa.

“Harap ada pihak yang sudi membantu menyelesaikan masalah saya ini demi masa depan anak-anak saya yang masih kecil. Hati saya menjadi sayu dan tidak keruan setiap kali mereka menelefon saya saban hari bertanyakan bila saya akan membawa mereka balik semula ke sini.

“Saya juga berterima kasih kepada Ketua Umno Bahagian Machang yang bersetuju menanggung kos perjalanan ke sana bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya.