Polis: Jangan sewenang-wenang keluar fatwa mengelirukan
15 April 2013
KOTA BHARU - Semua pihak dinasihat agar jangan mengeluarkan fatwa yang
boleh mengelirukan orang ramai dan menyebabkan perbalahan antara
masyarakat semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata jika ada
pihak yang tidak mempedulikan nasihat itu, polis mempunyai cara untuk
menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang melampau itu.
"Ini kerana fatwa berkenaan akan dibincangkan di kedai-kedai kopi dan
akan menyebabkan perbalahan yang diikuti dengan pergaduhan antara
masyarakat bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di tempat lain," katanya
kepada pemberita selepas meninjau persiapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen
(IPK) Kelantan menghadapi PRU13 ini, di sini hari ini.
Khalid turut menasihatkan calon yang bertanding dan penyokong mereka
supaya mematuhi nasihat pihak berkuasa khususnya sepanjang 15 hari
tempoh berkempen.
"Kami akan beri kerjasama kepada pihak yang memohon permit untuk
mengadakan kempen yang teratur, kami tidak mahu berlaku pertindihan
kawasan ceramah yang boleh menimbulkan perbalahan pihak-pihak yang
bertanding," katanya.
Beliau berkata 2,000 anggota polis ditambah di negeri ini dan polis
mengesan 80 kawasan panas di 32 daripada 45 kawasan Dewan Undangan
Negeri (Dun) di Kelantan.
Sejak pembubaran Dewan Rakyat 3 April lepas, polis Kelantan menerima 39
laporan polis berkaitan pilihan raya termasuk merosakan bendera parti,
bertengkar, mengugut dan mencederakan dengan senjata tajam, katanya.
Mengenai siasatan polis terhadap kes video seks yang dikaitkan dengan
Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali, Khalid berkata polis menjalankan
siasatan berkaitan kesalahan pengedaran dan memiliki video lucah.
"Tindakan boleh diambil terhadap sesiapa sahaja yang memiliki video
lucah sama ada ia disimpan dalam telefon bimbit atau facebook, jika
polis dapat mengesan, kami akan ambil tindakan," katanya sambil meminta
sesiapa yang memiliki video lucah supaya segera menyerahkannya kepada
polis. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment