6/07/13
Ulasan Professor Dr Mohammad Agus Yusof tentang kejatuhan Morsi
Oleh Dr Mohammad Agus Yusof
PADA 11 Februari 2011, Hosni Mubarak meletakkan jawatannya sebagai
Presiden Mesir selepas 18 hari rakyat menunjuk perasaan menentang 30
tahun pemerintahannya. Semasa kejatuhan beliau, rakyat dan tentera
berpimpinan tangan melaungkan slogan ‘rakyat dan tentera seiring
bersama’.
Pada 25 Jun 2012, Morsi dipilih sebagai Presiden Mesir untuk menjaga
kehidupan 84 juta rakyatnya. Rakyat dan tentera juga bergembira kerana
mengharapkan satu perubahan baru berlaku di negara itu. Morsi
dibanggakan sebagai seorang Hafiz dan mempunyai daya intelektual yang
tinggi. Wataknya dan ilmunya digambarkan cukup sesuai untuk menggantikan
kezaliman rejim Hosni Mobarak. Maka, rakyat Mesir gembira dengan
pemimpin barunya ini, namun kegembiraan itu tidak lama.
Pada 3 Jun 2013, 7 petang waktu Mesir, pemimpin tentera, Andel Fattah
al-Sisi telah mengisytiharkan penyingkiran Morsi, menggantungkan
perlembangaan dan melantik Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, Adly
Mansour, sebagai ketua kerajaan sementara. Saya sedih dengan kejatuhan
kerajaan Morsi dan Ihwanul Muslimim ini. Kesedihan ini bertambah lagi
apabila mengenangkan nasib pemimpin utamanya sebelum ini yang dihukum
gantung seperti Hassan Albanna, Syed Khutub dan lainnya.
Kembali kepada rampasan kuasa di Mesir, Abdel Fattah semasa mengarahkan
tentera mengambil alih kerajaan Morsi berkata beliau terpaksa mengambil
tindakan sedemikian kerana Morsi semasa pemerintahannya hanya menjaga
kebajikan orang Islam dan Ikhwanul Muslimin sahaja, tanpa mempedulikan
kebajikan rakyat sekular dan lainnya. Fatteh menafikan tindakan beliau
adalah rampasan kuasa, sebaliknya menyatakan tindakan tentera adalah
untuk menegakkan kembali demokrasi. Dakwaan Fatteh itu salah kerana
dalam apa keadaan sekalipun, campur tangan tentera adalah rampasan
kuasa.
Di pihak rakyat pula, mereka terlibat dalam demonstrasi itu kerana hidup
dalam keadan yang cukup resah. Mereka mengharapkan ‘revolusi’ membawa
kesejahteraan hidup, tetapi apa yang mereka perolehi dari kerajaan Morsi
adalah impian revolusi yang kosong: kos hidup, kadar pengangguran dan
kadar inflasi yang tinggi, bekalan letrik yang selalu terputus dan harga
minyak yang meningkat. Itulah kegagalan Morsi yang diambil kesempatan
oleh pihak sekular untuk menjatuhkannya dengan mendapatkan bantuan dari
luar. Bantuan itu adalah dari Israel, AS dan juga kaum Yahudi yang
merata di bumi ini. Mereka ini mahu melihat kejatuhan kerajaan Islam
pimpinan Morsi yang cukup menakutkan mereka.
Mereka takut kepada Morsi kerana semasa berlaku kebangkitan Palestin dua
tahun yang lalu, Morsilah yang membuka semula sempadan Gaza yang
ditutup semasa pemerintahan Hosni Mubarak. Tujuan Morsi adalah untuk
memberi laluan kepada rakyat Palestin berhubung dengan dunia luar supaya
mereka tidak terkurung di bumi sendiri. Morsi juga
bertindak menutup hubungan diplomatik dengan Syria dan merapatkan
hubungan dengan Turki yang juga Islamis. Hubungan Morsi yang baik dengan
Racip Tayep Erdogan, Perdana Menteri Turki yang juga Islamis ini cukup
membimbangkan Barat dan Yahudi.
Oleh sebab itulah, apabila Morsi jatuh, Asad di Syria gembira, raja Arab
Saudi gembira dan beberapa negara Islam lainnya yang autokratik juga
turut gembira. Mereka gembira sepertimana Israel, AS dan Yahudi. Hanya
negara Turki secara jelas mengutuk tindakan tentera ini. Negara-negara
demokratik Eropah lainnya sekadar menyatakan tidak setuju dengan campur
tangan tentera, tetapi tidak pun menggunakan istilah rampasan kuasa
tentera. Begitulah!
Apa pengajaran dari kisah di atas? Satu yang pasti ialah jangan percaya
demokrasi cara Amerika dan negara Barat lainnya. AS, Yahudi dan
musuh-musuh Islam hanya bercakap tentang demokrasi, tetapi mereka
sendiri tidak mahu menerima keputusan rakyat melalui demokrasi, malah
mereka mengkhianatinya. Oleh sebab itulah, kita tidak boleh biarkan
dalam apa keadaan sekalipun, unsur luar memasuki kancah politik negara
kita kerana demokrasi dari luar selalu menghancurkan, bukan sahaja dalam
kes di Mesir, tetapi juga di negara-negara yang dijanjikan oleh Barat
seperti Afghanistan dan Iraq—demokrasi di dua negara itu mati sehingga
sekarang dengan puluhan rakyat terbunuh setiap bulan. Sejarah juga
menunjukkan negara Barat hanya menutup mata apabila demokrasi dicabul
setelah FIS menang di Algeria, Hamas menang di Palestin dan terkini
Ikhwan di Mesir.
Apa yang merisaukan saya dengan tragedi di Mesir ini? Banyak
kerisauannya. Antaranya, saya bimbang rakyat Mesir juga akan menerima
nasib yang sama seperti rakyat Palestin atas pilihan dan kerakusan
mereka sendiri menggulingkan kerajaan Ikhwanul Muslimin. Saya risau
tentang keselamatan rakyat Palestin setelah Gaza ditutup. Saya bimbang
jika berlaku perang saudara di Mesir dan yang berperang ialah Islam vs
Islam. Saya bimbang jika rampasan kuasa ini memberi semangat kepada
tentera di negara lain untuk melakukan kudeta ke atas kerajaan sah yang
dipilih rakyat secara demokratik.
Dengan kerisauan di atas, marilah kita belajar dari tragedi ini. Banyak
iktibar yang boleh kita ambil. Pertama, kerajaan jangan
mendiskriminasikan rakyat dari segi kehidupan kerana ini boleh
menimbulkan kekecewaan dan kemarahan. Kedua, kerajaan perlu bijak
mengurus perbezaan pandangan dan jangan terlalu beremosi dalam
berpolitik. Ketiga, kerajaan perlu cekap dan adil dalam mengurus
pengagihan ekonomi negara supaya tidak ada segmen masyarakat yang berasa
terpinggir. Keempat, kerajaan tidak boleh membiarkan perut rakyat
kosong kerana ini akan mengundang demonstrasi. Dan kelima, paling
penting, apapun pendirian kita dalam politik, jangan mengundang campur
tangan luar.
Semoga Malaysia sentiasa dalam keadaan aman dan damai. Belajar dari
pengalaman negara ini dan jangan bergaduh hanya kerana bertuhankan
parti. Fikir dulu sebelum bertindak, bukan untuk lima tahun tetapi untuk
selamanya. Tk
1 orang berkata:
Salam Pak karamu,
Apapun alasan yg diberikan oleh Dr Agus, ada juga kebenarannya.
Untuk mengetahui lebih lanjut dari sudut sejarah pergolakan politik Mesir, sila baca ulasan saya dalam, "Krisis politik mesir : Tentera rampas kuasa redakan Arab Spring ii"
http://hisemudinkasim.blogspot.com/2013/07/krisis-politik-mesir-tentera-rampas.html
Post a Comment