Benjy
Pelakon, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy (tengah) bersama lima rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas tuduhan memiliki dadah seberat 4.7 gram dadah jenis syabu, minggu lalu. – Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR - Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, yang pernah didenda kerana memiliki dadah, didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas kesalahan sama.
  
Benjy, 34, didakwa bersama lima rakannya, Zain Amir Zainal Khairi, 37, Imran Radzi Ibrahim, 32, Asmanizam Mohamed Akhir, 32, Norazila Arzami, 27, dan Afifi Hamidi, 27.
  
Asmanizam dan isterinya, Norazila merupakan peniaga, begitu juga Zain Amir dan Imran Radzi manakala Afifi dalam bidang pembinaan.
  
Zain Amir mengaku bersalah manakala Benjy serta empat yang lain minta dibicarakan.
  
Mereka didakwa memiliki sebuah beg mengandungi 4.7 gram methamphetamine di Oakleaf Park Condo, Blok C, Persiaran Bukit Jaya, Taman Bukit Jaya, Hulu Kelang pada 11.30 pagi 26 Jun lepas mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama (Pindaan 2007) yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.
  
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos untuk sebutan.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene manakala peguam Farhan Read mewakili Imran Radzi dan Afifi, Amer Hamzah Arshad mewakili Benjy, dan P.G Cyril mewakili Zain Amir, Asmanizan dan Norazila.
  
Pada 17 Ogos 2011, Benjy didenda RM5,000 selepas didapati bersalah memiliki dadah dan pada 18 Ogos 2010, dia terlepas daripada pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.  - Bernama