PUTRAJAYA - Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, Seremban David Dass hari ini membuat laporan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berhubung tindakan pucuk pimpinan DAP yang didakwanya mencantas beberapa cawangan.
 
Beliau berkata selain ada antara anggota tidak diberikan sebarang notis untuk mesyuarat agung tahunan cawangan baru-baru ini seperti yang termaktub di bawah perlembagaan parti, beliau percaya wujud elemen tandatangan palsu pada kehadiran mesyuarat bagi menunjukkan jumlahnya mencukupi korum.
 
"Saya juga menyerahkan bukti penyelewengan seperti gambar 'orang luar' dibawa untuk menunjukkan kedatangan yang cukup dalam mesyuarat-mesyuarat itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di pejabat JPPM di sini.
 
Beliau berkata setiap anggota cawangan berhak menyertai mesyuarat agung tahunan cawangan masing-masing, selagi tidak pernah gagal mematuhi syarat perlembagaan parti iaitu membayar yuran tahunan.
 
Katanya beliau percaya tindakan mencantas itu dilakukan ekoran terdapat cawangan yang bertindak lantang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti pada Disember lalu.
 
Beliau berkata turut mengalami nasib yang sama ialah ahli dari Cawangan Desa Dahlia dan Nilai Perdana dan jumlah ahli bagi ketiga-tiga cawangan dianggarkan lebih 500 orang. - Bernama