Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar 
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini telah mengusulkan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Hasutan (Pemansuhan) 2013 bagi menggantikan Akta Hasutan 1948.

Beliau berbuat demikian kerana mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal melaksanakan janji untuk memansuhkan aktar tersebut, setahun lalu.

"Langkah ini diharap dapat menamatkan era penyalahgunaan Akta Hasutan 1948 menerusi pemansuhannya sekaligus dapat melaksanakan reformasi tulen demi Malaysia yang lebih baik.

"Rang Undang-undang untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 ini saya telah hantar ke pejabat Setiausaha Dewan Rakyat semalam," katanya pada sidang media, di bangunan Parlimen, hari ini.

Pada 11 Julai 2012, Najib mengumumkan kerajaan telah mengambil keputusan untuk menguatkuasakan secara serta-merta semua akta baru dan memansuhkan Akta Hasutan 1948 serta digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.