Nirmala Bonat
Nirmala Bonat - Foto The Star Online
PUTRAJAYA - Keadaan mental dan kecederaan fizikal pembantu rumah warga Indonesia Nirmala Bonat perlu diperiksa oleh pakar perubatan.

Ini kerana Nirmala gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan bekas majikannya Yim Pek Ha dan suaminya, supaya Nirmala diperiksa oleh pakar perubatan.

Nirmala mengemukakan saman terhadap Yim dan suaminya, Hii Ik Ting, 47, memohon ganti rugi bagi kesakitan dan penderitaan yang didakwa dialaminya akibat didera.

Yim, 45, ketika ini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas rayuan terakhirnya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada Oktober tahun lepas untuk mengetepikan sabitan dan hukuman kerana mencederakan Nirmala.

Hakim Datuk Ramly Ali yang mengetuai panel tiga hakim hari ini sebulat suara menolak rayuan Nirmala selepas memutuskan bahawa Nirmala tidak akan menjadi mudarat sekiranya dia diperiksa oleh pakar.

Hakim Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat turut menganggotai panel berkenaan.

Kes saman itu ditetapkan bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Julai.

Nirmala, 29, dari Desa Tuapakas di Kota Kupang, Indonesia, memfailkan saman itu pada 2010 terhadap Yim dan Hii, dengan mendakwa dia mengalami kesakitan, menanggung malu dan seksaan mental serta fizikal ketika bekerja sebagai pembantu rumah pasangan itu di Villa Putera di Jalan Tun Ismail antara September 2003 dan Mei 2004.

Nirmala memohon ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan serta lebih RM40,000 kerana kehilangan pendapatan selain perbelanjaan perubatan sebagai ganti rugi khas.

Pada 27 Feb tahun ini, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasangan itu supaya Nirmala diperiksa oleh pakar perubatan yang akan ditugaskan oleh Yim dan Hii bagi menentukan sama ada kecederaannya itu diakibatkan oleh Yim atau Nirmala sendiri.

Nirmala diwakili peguam M. Kavimani manakala Yim dan Hii diwakili peguam Chan Vy Sing dan Lam Cheng Wun. - Bernama