PRK Dun Kuala Besut
KUALA BESUT - Esok, 16,534 pengundi berdaftar akan menuju ke pusat-pusat pengundian di sekitar Kuala Besut untuk memilih wakil rakyat baru mereka sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut.

Dengan tempoh rasmi kempen selama 12 hari bagi PRK itu berakhir pada 11.59 malam ini, tumpuan esok terletak pada pilihan pengundi untuk mengisi kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Di tangan mereka menjadi penentu sama ada kerusi itu akan disandang calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, seorang jurutera atau calon Pas Endot @ Azlan Yusof, 48, seorang ahli perniagaan.

Tengku Zaihan dan Azlan, kedua-duanya anak tempatan, dinamakan parti masing-masing sebagai calon pada hari yang sama iaitu 9 Julai lepas, sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Tengku Zaihan diperkenalkan sebagai calon BN pada pelancaran jentera BN dengan slogan "Kuala Besut Bertambah Biru" oleh Timbalan Perdana Menteri selaku Pengarah PRK Kuala Besut Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sebelah petang di Dataran Kuala Besut manakala Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan calon partinya di Kampung Nail pada sebelah malam.

Tengku Zaihan akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2 esok manakala Azlan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu.

Pertembungan calon BN dan Pas itu sekali lagi mengulangi sejarah 1979 apabila PRK terpaksa diadakan pada bulan Ramadan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Zakaria Muda (BN) pada 26 Jun 1979 iaitu tarikh yang sama Allahyarham Dr Rahman meninggal iaitu juga pada 26 Jun lalu.

Tempoh berkempen selama 12 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada bulan Ramadan kali ini turut mengubah strategi dan senario kempen PRK Kuala Besut yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Calon BN Tangku Zaihan berkata sejak 12 hari lalu masa dan jadual kempennya memang cukup padat namun tidak menghalangnya untuk berjumpa dengan pengundi di kawasan Kuala Besut.

Dalam sehari, katanya, beliau menghadiri tidak kurang daripada 10 majlis bersama rakyat selain beberapa program kempen dari rumah ke rumah bersama jentera parti.

"Saya bersyukur kerana sebelum ini dengan tugas sebagai jurutera di lapangan, perkara seperti ini satu kebiasaan kepada saya dan syukur saya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada jentera parti,"  katanya yang lebih dikenali melalui slogan "Abe Ku, Ore Mudo Mudoh Baso Sene Kiro".

Selain Muhyiddin yang turun membantu kempen Tengku Zaihan, kempen calon BN juga mendapat sokongan kuat daripada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Timbalan Pengarah BN bagi PRK itu.

Bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari BN Datuk Wan Zakaria Wan Abdul Rahman yang menang pada PRK Kuala Besut 1979 berkata pengalaman dan pendekatan menghadapi PRK 34 tahun lalu turut digunakan pada pilihan raya kali ini.

"Sebagai menghormati bulan Ramadan, ceramah-ceramah di kawasan terbuka dikurangkan sebaliknya tumpuan lebih kepada berjumpa terus pengundi," katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jentera BN dan Pas jelas lebih berhati-hati dalam meraih sokongan pengundi di Kuala Besut dengan masing-masing cuba mendekati pengundi sebaik mungkin.

"Siapa (parti) yang berjaya mendekati pengundi, mereka pastinya berkelebihan dan saya lihat kedua-dua pihak memang berusaha ke arah itu, katanya.

Selain tumpuan di kawasan pengundi, kempen kedua-dua pihak yang bertanding turut berlangsung di beberapa tapak bazar Ramadan sekitar Kuala Besut selain beberapa ceramah berskala kecil di markas-markas parti yang turut menayangkan CD ceramah serta tazkirah beberapa penceramah  terkemuka tanah air.

Dalam pada itu calon Pas Azlan yang lebih mesra dengan panggilan 'Che Long' disekat daripada memberi sebarang kenyataan secara spontan kepada pihak media selepas tersiar kenyataan kontroversinya di laman YouTube yang antara lain dikatakan seolah-olah beliau lebih berminat untuk berniaga.

Bagi kelancaran PRK kali ini, kira-kira 3,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan di Kuala Besut selain bantuan daripada anggota Sukarelawan Polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan pasukan keselamatan lain seperti Jabatan  Pertahanan Awam (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kemenangan BN di Dun Kuala Besut itu signifikan untuk memastikan kedudukan BN Terengganu yang kini menyandang 16 kerusi Dun kekal kukuh berbanding pembangkang dengan 15 kerusi Dun.

Pada PRU13, 5 Mei lalu, Dr Rahman (BN) menang dengan majoriti 2,434 mengalahkan calon Pas Napisah Ismail.

Lapan pusat mengundi akan dibuka esok membabitkan 35 saluran mengundi yang akan bermula pukul 8 pagi esok sehingga pukul 5 petang kecuali pusat mengundi di Pulau Perhentian yang akan ditutup pukul 3 petang. -Bernama