Gempa berkembar gegarkan China
Gempa berkembar itu menyebabkan lebih 21,000 struktur bangunan di wilayah Gansu, semalam. Foto: FNA

BEIJING - CHINA. Lebih 70 maut manakala kira-kira 600 cedera selepas gempa berkembar menggegar bandar Dingxi di wilayah Gansu, menurut kerajaan tempatan, semalam.
Gempa sederhana berukuran 5.9 dan 5.6 pada skala Richter itu turut menyebabkan lebih 21,000  bangunan dan rumah penduduk musnah.

Jurucakap kerajaan wilayah, Chang Zhengguo dalam laporan AFP berkata, sebanyak 371 gempa susulan direkodkan selepas insiden tersebut.

Sementara itu, Datuk Bandar Dingxi, Tang Xiaoming memaklumkan Zhang dan Min sebagai daerah paling teruk terjejas.

Susulan daripada kejadian itu, Palang Merah China bertindak menghantar bantuan 200 khemah dan barang keperluan lain memandangkan hujan lebat dijangka melanda pada minggu ini.

500 anggota penyelamat turut dikerah ke lokasi bencana tersebut bagi membantu operasi mencari dan menyelamat penduduk yang mungkin tertimbus di bawah runtuhan. 

Pada 2008, seramai 90,000 orang maut atau hilang selepas gempa terburuk berukuran 7.9 skala Ritcher menggegar wilayah barat daya Sichuan.