Abdul Azeez Abdul Rahim
Abdul Azeez Abdul Rahim

KUALA LUMPUR - Pelantikan Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) semalam mendapat tentangan daripada Ahli Parlimen dari PR kerana mendakwanya sebagai bersifat berat sebelah dan mempunyai kepentingan politik BN.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya meneliti semula pelantikan itu supaya ia mengikut garis panduan tertentu berdasarkan keupayaan, kredibiliti dan tidak partisan yang menyebelahi Umno-BN.

"Janganlah dipolitikkan segala-galanya di negara ini dan saya nampak Perdana Menteri terpaksa menganugerahkan, membayar dan memberi politikus-politikus tertentu jawatan, saya masih merasakan ia melampaui batasan.

"Tabung Haji merupakan satu institusi yang harus kita pegang dan melantik sesiapa yang terbaik, mempunyai kepakaran untuk memastikan pegangan dan khazanah umat Islam tidak terjejas," katanya kepada Sinar Harian Online di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pelantikan Abdul Azeez sebagai pengerusi agensi kerajaan itu yang berkuatkuasa semalam.

Abdul Azeez yang juga anggota Lembaga Pengarah TH sejak 2011 dilantik menggantikan penyandangnya, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor yang berkhidmat dengan TH sejak Ogos 2007.