Kekejaman mempunyai tarikh lupusnya! |
Posted on Saturday, July 02 @ 20:54:01 PDT by paktam
Oleh Lim Hong Siang
Perkembangaan senario politik terkini sesungguhnya sesuatu yang agak merunsingkan buat seniman dan karyawan, namun sasterawan negara A Samad Said tetap tidak berganjak langkah dari pendiriannya ketika berdepan dengan kuasa pemerintah. Sambil bersikap sinis terhadap kerajaan yang "takut dengan warna", A Samad Said menyuntik semangat dengan peringatan bahawa "kekejaman mempunyai tarikh lupusnya!"
A Samad Said dipanggil polis untuk disoal-siasat pada 27 Jun, lantaran kehadiran beliau dalam majlis pelancaran perhimpunan BERSIH 2.0 pada 19 Jun 2011. Beliau kembali ke bangunan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor semalam, untuk menghadiri majlis perlancaran buku kartun Zunar, "EVEN MY PEN HAS A STAND".
Sekurang-kurang dua kali A Samad Said berjenaka bahawa Zunar dan dirinya mungkin ditangkap selepas majlis tersebut, namun disusuli dengan kenyataan bahawa dirinya sudah "bersedia". Beliau mengulas perkembangan yang terbaru ketika berucap dalam majlis pelancaran buku Zunar, mengambil pendirian untuk mempertahankan Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan, di samping membidas penahanan menggunakan Ordinan Darurat sebagai satu kekejaman.
Kelompok "Carma"
A Samad Said menyifatkan sesetengah kelompok seniman dan karyawan yang "selalu bersedia untuk tidak bersikap" sebagai "carma", iaitu cari makan. Dan sikap sedemikian menurutnya, memberi laluan kepada segala kemungkaran yang sedang berlaku dengan dahsyatnya pada hari ini.
Beliau mengisahkan bahawa dirinya langsung tidak membaca media arus perdana seperti Utusan Melayu, Berita Harian, New Straits Times dan The Star sebelum ini, "oleh kerana dengan tak membacanya pun, saya tahu". Namun, perkembangan terbaru mendorong dirinya untuk membeli dan membaca akhbar-akhbar tersebut, pada dua tiga hari kebelakangan.
"Daripada medium mainstream, bersih tu kotor. Saya sekarang pun hairan juga mengapa orang akhbar yang begitu berpengalaman, mendapat anugerah itu dan ini boleh mengotorkan bersih? Saya tidak faham, tapi saya tahulah di sana ada kelompok-kelompok semata-mata carma, cari makan."
A Samad Said turut menyanggah tuduhan "sasterawan negara baru" terhadap dirinya, bahawa A Samad menggunakan anugerahnya untuk memecah-belahkan bangsa. A Samad Said membela dirinya bahawa sepanjang usianya, beliau hanya "menyatukan bukan mengecaikan".
Ambiga tidak bersalah!
Satu hal lain yang merunsingkan A Samad Said adalah, munculnya satu kelompok yang mendakwa dirinya wira khusus untuk bangsa Melayu, ingin menyaingi BERSIH 2.0, setelah BERSIH 2.0 mengumumkan hasrat untuk mengadakan demonstrasi murninya.
"Dan saya kira, kalaulah terjadi pertelagahan, saya lebih menyalahkan polis. Sebab polis lebih awal tahu bahawasanya beberapa bulan yang lalu kelompok BERSIH ini sudah pun meminta ruang dan hari untuk membolehkannya berdemonstrasi jujur. "
Beliau memuji niat BERSIH yang bagus, namun apa yang berlaku adalah polis dengan sengaja, atau disuruh tidak membenarkannya. "Dan saya tidak hairan kalau Puan Ambiga, kerana tidak dibenarkan, dia teruskan. Bukan salahnya! Dia minta, tapi tidak dibenarkan. Jadi, apakah BERSIH yang salah, ataupun yang tak bersih tu yang salah?" persoal beliau.
Malah, beliau berkata niat polis adalah jelas, iaitu untuk menakutkan rakyat - ketika mengulas kejadian di mana 70 anggota polis mengelilingi tujuh orang yang ingin ditangkap. "Sebab mustahil ada, tiba-tiba ada 70 orang polis," katanya, sambil meneruskan "Niatnya ialah untuk menakutkan. Jadi sekarang ini zaman menakutkan, supaya rakyat berhati-hati..."
Timbulkan soal komunis
A Samad Said tidak lupa untuk membidas, bahawa iklim siasah kita sudah mula beralih menjadi "amat kasar", apabila soal komunis ditimbulkan. Beliau berkata isu ini seolah-olah sengaja ditimbulkan untuk mempermudahkan penangkapan dengan undang-undang yang lama. Beliau sempat menyindir "pengkhayalan" mereka yang berkuasa, "Dan saya fikir pengkhayalan itu hanya dua orang, tak payah saya sebut namalah...", sambil menambah "Kadang-kala khayalan polis juga luar biasa".
Enam orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditangkap semula dengan Ordinan Darurat pada 2 Julai, yang membenarkan tempoh penahanan 60 hari tanpa perbicaraan. Mereka sebelum ini dituduh cuba menghidupkan semula komunisme, dan berniat memerangi Yang Di-Pertuan Agong. A Samad Said berterus-terang, "Saya kira ini adalah satu kekejaman."
Beliau mempersoalkan, "Sebab kita juga hidup dalam satu dunia demokrasi, di mana suara harus didengar, harus dipertimbang. Mengapa tiba-tiba kita harus berada dalam satu situasi yang tidak boleh bercakap pun, malah warna pun tidak boleh hidup?"
Beliau kemudian membidas bahawa warna kuning sebagai warna yang murni, warna simbolis sampai ke puncaknya, warna yang dihormati - kini cuba dikuburkan, selepas beliau menyindir, "Dengan warna pun dia takut?"
"Dengan kesombongan kuasa yang ada, yang mengatakan tak mahu berunding lagi, itu sudah tidak demokrasi." A Samad Said berkata, "Tidak mahu berunding lagi, maksudnya, permulaan zaman menangkap!"
Dengan kain kuning yang dililitkan oleh Zunar pada lengannya, A Samad berkata, "Kekejaman mempunyai tarikh lupusnya!" Beliau terus meluahkan keresahannya, "Saya khuatir kalau ini dibiarkan, ada tanda-tanda yang kemungkinan yang sangat besar negara kita akan menjadi negara polis. Ada tanda-tanda itu."
Sebelum mengakhiri ucapannya, A Samad Said sekali lagi melontarkan jenaka, "Saya nampak banyak gambar rambut", dalam buku Zunar. Pembaca yang masak dengan kartun Zunar menyedari bahawa kartun tersebut membawa sindiran tersirat terhadap isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. A Samad mengakhiri ucapannya, "Saya takut dengan rambut!
0 orang berkata:
Post a Comment