Kenapa perlu BERSIH 2.0? |
Posted on Friday, July 01 @ 18:28:00 PDT by paktam
Oleh Mohamad Sabu
Pemerintah yang mendapat mandat daripada rakyat akan merasa selesa untuk menjalankan pemerintahan dalam sistem demokrasi berpilihanraya. Perjalanan yang baik dan pilihanraya yang bersih di antara punca keamanan di sesebuah negara.
5 tahun sekali, pemerintah memperbaharui mandat daripada rakyat untuk penerusan berkuasa atau rakyat memberi mandat kepada golongan lain untuk berkuasa. Itulah secara mudah kefahaman demokrasi dan amalannya dari rakyat untuk rakyat kepada rakyat.
Untuk memastikan pilihanraya yang bersih dan adil berlaku di Malaysia, maka pihak NGO telah cuba menimbulkan kesedaran kepada rakyat dengan seminar, kongres dan himpunan aman untuk meletakkan dalam fikiran rakyat dan kerajaan, supaya pilihanraya berjalan dalam keadaan bersih, adil dan aman.
Pada 10 November 2007, BERSIH yang dianggotai lebih 60 NGO dan disokong oleh parti-parti politik yang utama, PAS, DAP dan Keadilan bersetuju untuk mengadakan himpunan aman untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil dijalankan di Malaysia. Biarlah rakyat berpuas hati di atas pilihan mereka, atau penolakan mereka berdasarkan jumlah bilangan yang betul dan mengikut tatacara yang betul untuk melahirkan pemerintah yang dipilih oleh rakyat berwibawa dan berintergriti.
Untuk menjamin keadilan dan kesaksamaan dalam pilihanraya (bertarung di padang yang sama) maka BERSIH mencadangkan untuk membuat perubahan di atas empat perkara utama, iaitu: 1. Daftar automatik
2. Tanda dakwat kekal kepada yang telah mengundi
3. Penyusunan semula dan membuat reformasi terhadap undi pos
4. Akses media yang bebas dan adil
Daftar pemilih adalah kerja kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), parti-parti politik di antara tugas mereka menarik sokongan rakyat atau pengundi untuk menyokong dan mengundi parti-parti mereka. Bila daftar pemilih diizinkan, parti politk membantu SPR untuk meramaikan pemilih yang berdaftar, maka parti pemerintah boleh meng"eksploid" kan pegawai kerajaan dan SPR untuk memihak kepada mereka.
Daftar pemilih yang tidak bersih, samada orang yang telah meninggal dunia mengundi, rakyat bukan warganegara mangundi, mengundi berulang, orang mati mengundi, semuanya ini boleh menimbulkan keabsahan pemerintah yang memperolehi kuasa. Untuk mengelak seorang pengundi membuat ulangan undi di hari pilihanraya, maka penggunaan dakwat kekal di jari, atau di mana-mana tempat tubuh pengundi boleh mengelakkan buangan undi berulang terhadap satu individu.
Undi pos paling meragukan, pihak berkuasa berupaya men"zero"kan undi pos bagi pihak pembangkang jikalau parti pemerintah mahu. Pengundi yang membuang undi secara pos langsung tidak bebas kepada manipulasi dan penipuan.
Akses media yang bebas dan adil amat perlu supaya pengundi mendapat maklumat daripada berbagai pihak sebelum mereka membuat keputusan memilih atau mengangkat mana-mana calun atau parti.
Kebebasan media hampir tidak ada langsung diamalkan di Malaysia. Kebebesan hanyalah untuk menzahirkan cerita rogol, berkesedudukan, hantu mak limah balik kampung, cerita tahyul, seram diberi kebebesan sepenuhnya oleh pemerintah di Malaysia. Sebaliknya parti-parti politik yang tidak berkuasa hampir tidak ada langsung propaganda parti mereka melalui alat pandang dengar yang dimiliki oleh kerajaan atau media saham utama kerajaan.
Semua tuntutan BERSIH langsung tidak diendahkan oleh kerajaan yang memerintah dan parti-parti politik yang berkuasa. Bahkan hak dalam perlembagaan dilanggar oleh pemerintah dan parti pemerintah. Contohnya sebarang ceramah atau himpunan di kawasan felda akan dikepung, disekat, dilarang oleh pihak polis untuk para penduduk felda mendengar penerangan daripada parti-parti halal yang ingin bertanding dalam pilihanraya. Pemerintah UMNO menggunakan segala sumber kuasa pemerintah untuk melindungi parti mereka dan melindungi pemerintahan mereka.
Kejadian yang berlaku di Timur Tengah, terutamanya di Algeria, Tunisia, Mesir, Yaman, Bahrain, Siria berlakunya pemberotakan rakyat berpunca daripada tidak ada keadilan dalam pilihanraya dan sistem demokrasi tidak berjalan. Puluhan ribu rakyat Algeria terkorban di pihak pembangkang dan pemerintah akibat dari pilihanraya yang tidak adil. Ratusan terkorban di Tunisia, di Mesir, di Yaman, di Bahrain dan di Siria akibat daripada rakyat tidak merasai keadilan dalam pilihanraya dan pemerintah yang berkuasa dianggap haram oleh sebahagian daripada rakyat.
Gadaffi boleh berbangga pemerintahannya lebih daripada 40 tahun, tetapi apa jadi sekarang? Ribuan nyawa rakyat melayang akibat dari tidak ada pilihanraya, tidak ada demokrasi dan tidak ada keadilan. Secara umumnya rakyat tidak berpuashati dengan keputusan pilihanraya boleh mencetuskan huru-hara.
Untuk mengelakkan kejadian seumpama di Timur Tengah, seperti di Algeria, Tunisia, Mesir, Libya, Yaman, Siria dan Bahrain tidak berlaku di Malaysia, huru-hara seperti itu tidak diimport ke Malaysia, maka pihak BERSIH melancarkan BERSIH 2.0 untuk perhatian kerajaan supaya menjalankan pilihanraya yang adil dan saksama demi untuk memelihara keamanan negara. Pihak yang mendapat mandat dari rakyat melalui pilihanraya yang bersih dan adil akan merasa kepuasan.
Pilihanraya yang berjalan secara tempang yang berlaku di Malaysia menyebabkan NGO BERSIH 2.0 dilancarkan pada 9 Julai 2011. Kenapa perlu BERSIH 2.0?
0 orang berkata:
Post a Comment