Terma rujukan panel Bersih lebih fokus kepada keganasan polis
May 28, 2012
PUTRAJAYA, 28 Mei – Panel siasatan bebas berkenaan Bersih hari ini mengemukakan 10 Terma Rujukan (TOR) yang dilihat memberikan fokus utama terhadap keganasan pihak polis sewaktu perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih pada 28 April lalu.
TOR yang diserahkan salinannya kepada media di pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyaksikan sebahagian daripadanya menjurus kepada insiden keganasan polis terhadap perusuh termasuk juga petugas media yang turut dikasari pihak berkuasa terbabit.
Antara TOR yang menjurus kepada pihak polis tersebut adalah “untuk memastikan sama ada penguatkuasaan agensi-agensi mematuhi prosedur perundangan dan tindakan setiap masa terutamanya ketika penggunaan kekerasan, gas pemedih mata, dan meriam air.”
Antara terma rujukan lain berkaitan polis adalah “untuk menyiasat sama ada terdapatnya keganasan fizikal secara rawak digunakan pihak polis terhadap orang awam dan petugas media,” “menyiasat sama ada terdapatnya rampasan tidak mengikut undang-undang terhadap gambar dan rakaman video dan peralatan mereka dimusnahkan.”
Selain itu juga, terma rujukan itu juga akan “menyiasat sama ada terdapatnya antara mereka yang ditangkap tidak menurut lunas perundangan dan mengalami kecederaan serius semasa dalam tahanan polis,” dan juga menyiasat “Prosedur Operasi Standard (SOP) polis dalam menghormati peserta dan kawalan perhimpunan berdasarkan cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau masyarakat yang mengamalkan demokrasi.”
TOR itu seharusnya dibentangkan sewaktu sidang media bersama Pengerusi panel bebas tersebut, Tun Hanif Mohammed Omar, yang dilantik bersama enam panel yang lain itu bagaimanapun hanya dilampirkan bersama kenyataan medianya ekoran sidang media tersebut dibatalkan atas sebab yang tidak diketahui.
Hanif yang merupakan bekas Ketua Polis Negara sebelum ini pernah dikecam kerana mengeluarkan kenyataan perhimpunan Bersih mempunyai unsur komunis dan berniat untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.
Selain itu, TOR itu turut melibatkan penyiasatan terhadap penganjur perhimpunan Bersih 3.0.
Hanif dalam kenyataannya sebelum ini berkata, panel bebas itu turut menyatakan kesediaan untuk bersemuka dengan Majlis Peguam dan Bersih bagi menyatakan kediaan bekerjasama dengan mereka secara sukarela.
Panel itu juga menegaskan mereka adalah satu badan alternatif buat pertubuhan yang menuntut untuk membersihkan sistem pilihan raya, malah, mereka juga sanggup untuk bersemuka dengan Majlis Peguam dan Bersih di pejabat masing-masing demi kebaikan bersama.
Hanif menjelaskan, beliau telah mempengerusikan sidang pertama panel tersebut pada Jumaat, 25 Mei lalu di pejabat KDN.
“Dalam mesyuarat pertama tersebut, panel telah mengemukakan 10 terma rujukan (TOR) dan telah sebulat suara bersetuju selepas dibincangkan.
“Panel ini juga boleh menjadi saluran untuk pihak-pihak mengemukakan bahan bukti, bantahan, dan sebagainya berhubung perhimpunan tersebut,” tambahnya.
Panel ini juga jelas Hanif “telah diberikan kebebasan oleh kerajaan dari pelbagai aspek termasuk tempoh masa dan pihak yang berkenaan yang boleh dirujuk bagi membantu siasatan.”
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah mengumumkan enam panel yang ditugaskan untuk menyiasat dakwaan keganasan polis ketika perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu di Dataran Merdeka.
Selain Hanif, panel lain yang dilantik adalah bekas Ketua Hakim Borneo Tan Sri Steve Shim, Pengarah Urusan Sinar Harian Datuk Hussamuddin Yaacub, Penasihat Perundangan Antarabangsa Media Cina, Liew Peng Chuan, Pengarah Komunikasi Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah dan Profesor Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Professor Dr Ruszmi Ismail.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata ahli panel tersebut haruslah dilantik dari kalangan mereka yang “kredibel, berpengalaman, dan dihormati” bagi menyiasat insiden keganasan ketika Bersih 3.0.
Najib berkata, beliau dan juga kerajaan dan orang ramai akan memerhatikan penyiasatan tersebut terhadap keganasan ke atas wartawan, media tempatan dan antarabangsa sewaktu perhimpunan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.
Namun Najib telah menerima kecaman kerana melantik Hanif yang merupakan bekas Ketua Polis Negara untuk mengetuai panel tersebut, dan beliau pernah berkata perhimpunan itu adalah bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan.
Hanif juga turut didesak melepaskan jawatan sebagai pengerusi bebas tersebut oleh pembangkang kerana beliau telah memberikan kenyataan yang berunsur prejudis terhadap Bersih walaupun sebelum menyiasat insiden keganasan tersebut.
Kekecohan tercetus di jalan raya sekitar Kuala Lumpur pada petang 28 April sejurus jam 3 petang apabila pasukan polis bertempur dengan perusuh, dan turut melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan perusuh.
Majlis Peguam juga mendapati keganasan yang dilakukan pihak polis sangat “mengejutkan” berbanding Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lalu.
Perhimpunan yang pada mulanya aman itu bertukar ganas setelah perusuh mula menceroboh kawasan Dataran Merdeka dan merobohkan penghalang yang didirikan pihak berkuasa.
Bagi mengawal keadaan, pihak polis anti rusuhan terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah perusuh memaksa mereka bersembunyi di lorong-lorong sekitar Kuala Lumpur
Sekitar 152 individu telah ditahan dalam insiden terbabit dan polis juga mula memburu mereka yang dipercayai terlibat mencetuskan keganasan sewaktu perhimpunan tersebut termasuk kereta polis diterbalikkan.
Kerajaan juga telah mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA 2012) dan telah mengemukakan saman terhadap 10 Jawatankuasa Pemandu Bersih termasuk pengerusi bersamanya, Datuk Ambiga Sreenevasan dengan nilai RM122,000 bagi gantirugi kerosakan kenderaan yang dialami pihak polis.
0 orang berkata:
Post a Comment