anwar ibrahim
Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menfailkan permohonan bagi membatalkan dua pertuduhan yang dihadapinya berhubung perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas atas alasan pertuduhan itu tidak teratur dan tidak sah.
  
Permohonan itu difailkan peguam yang mewakilinya Karpal Singh di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Sesyen Jenayah di sini dan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
  
Pada 22 Mei lepas, Anwar dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali serta Ketua Cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menyertai protes jalanan yang menimbulkan kekecohan di ibu negara.
  
Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyertai protes jalanan bagi maksud membantah perintah Majistret Zaki Ashraf Zubir yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya orang awam tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan, antara 28 April hingga 1 Mei 2012.
  
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April, di sepanjang Jalan Tun Perak di sini dan didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh didenda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
  
Mereka merupakan individu pertama didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman yang berkuat kuasa tahun ini.

Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kedua iaitu bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim dengan menghasut ketiga-tiga mereka membuka sekatan besi halangan di Jalan Raja, di sini, pada hari yang sama.

  
Bagi pertuduhan itu, Anwar, Azmin dan Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard didakwa bersama dengan penyokong-penyokong "Gabungan Bersih dan Adil" yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan mengingkari perintah Mahkamah Majistret yang dikeluarkan pada 26 April lepas, dan keingkaran itu mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan itu.
  
Anwar, 64, Mohamed Azmin, 48 dan Badrul Hisham, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Raja di sini, pukul 3 petang, 28 April lepas dan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
  
Dalam permohonannya hari ini, Anwar mendakwa pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan tidak sah kerana Majistret Zaki Ashraf itu tidak menamakannya di dalam perintah itu.
  
Penasihat PKR itu mendakwa perintah yang dikeluarkan majistret itu tidak pernah diwartakan dan dilampirkan di tempat-tempat yang berkebolehan bagi orang awam mengetahui mengenai perintah itu mengikut Seksyen 90(2) Kanun Acara Jenayah.
  
Anwar mendakwa prosiding terhadapnya berhubung kedua-dua pertuduhan itu juga adalah tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan. - Bernama