Keluarga arwah Aminulrasyid saman kerajaan, polis RM50j
Oleh Md Izwan
April 17, 2013
April 17, 2013
Surendren bersama keluarga arwah Aminulrasyid di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam 17 April, 2013. – Gambar oleh Choo Choy May
SHAH ALAM, 16 April — Keluarga arwah Aminulrasyid Amzah hari ini
memfailkan saman sivil ke atas polis dan kerajaan Malaysia di Mahkamah
Tinggi Shah Alam kerana menyebabkan pembunuhan menyalahi undang-undang
remaja tersebut pada 2010.
Dalam writ saman yang difailkan plaintif, yang terdiri kakak mangsa
Nor Azura Amzah dan ibu kepada arwah Norsiah Mohamad, menamakan anggota
polis Korporal Jenain Subi dan bekas Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid
Abu Bakar - kini merupakan timbalan ketua polis negara - sebagai
defendan pertama dan kedua.
“Saman yang difailkan hari ini adalah kerana pihak polis sengaja melanggar hak asasi adik Aminulrasyid.
“Selepas tiga tahun, tiada sesiapa yang dihukum. Malahan, tertuduh
yang didakwa juga telah dibebaskan,” kata peguam keluarga arwah
Aminulrasyid, N Surendran pagi ini di lobi mahkamah.
Surendran juga menjelaskan tindakan Khalid ketika itu yang membuat
kenyataan fitnah dan jahat mengatakan Aminulrasyid adalah penjenayah
juga antara sebab utama saman hari ini difailkan. Khalid tidak pernah
meminta maaf ataupun membayar ganti rugi.
“Malah, dia mengeluarkan kenyataan fitnah dan jahat menuduh adik
Aminulrasyid sebagai penjenayah walhal semasa perbicaraan tiada bukti
mengatakan sedemikian,” tambahnya.
Surendran menerangkan asas saman sivil tersebut adalah kerana
defendan telah cuai dan menyerang mangsa tanpa mengikut piawaian
prosedur yang ditetapkan (SOP) pihak berkuasa tersebut.
“Dua asas saman ini ialah kerana pihak polis telah cuai semasa
menjalankan tugas dan membuat serangan tidak mengikut SOP dimana
tembakan telah dilepaskan secara bertubi-tubi.
“Malahan, pihak polis telah menembak tayar kereta mangsa,” terang Surendran lagi.
Surendran juga berkata pihak keluarga mangsa telah meminta tuntutan
ganti rugi tertinggi RM50 juta, termasuk ganti rugi am, ganti rugi estet
dan juga ganti rugi teladan.
Turut hadir pagi ini di mahkamah bagi memberikan sokongan kepada
keluarga mangsa ialah Ahli Parlimen (MP) Shah Alam Khalid yang mengecam
pihak polis yang dilihat tidak melaksanakan tanggunjawab dan amanah yang
diberikan.
“Pihak polis telah beri mesej yang salah.
“SOP mereka sangat mengecewakan, saya harap polis dan kerajaan
Malaysia mengambil tindakan tegas ke atas perkara ini,” gesa Khalid.
Remaja berusia 14 tahun tersebut telah ditembak mati dikepala oleh
polis pada malam 26 April 2010 dalam satu insiden kejar mengejar dengan
kereta peronda polis dengan kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.
Kes kematian Aminulrasyid mendapat tumpuan masyarakat Malaysia,
sehingga menyebabkan anggota polis Jenain yang dituduh melepaskan
berpuluh das tembakan didakwa pada tahun sama mengikut Seksyen 304 (a)
Kanun Keseksaan.
Jenain kemudiaan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah
Sesyen Shah Alam tetapi dibebaskan pada Disember 2012 selepas
mengemukakan rayuan.
Keputusan tersebut diputuskan oleh Hakim Datuk Abdul Rahman Sebi yang
berpuas hati dengan hujah tertuduh yang mengatakan tembakan dilepaskan
hanya untuk menghentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan
bukan dengan niat membunuh remaja lelaki itu.
Seramai 39 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan pada 12 Oktober 2010.

0 orang berkata:
Post a Comment