Husam bukan dibuli dalam Sidang Dun
KOTA BHARU - Pas Kelantan menganggap Adun Salor, Datuk Husam Musa tidak
pernah ‘dibuli’ sepanjang Sidang Dun Kelantan lalu, sebaliknya beliau
sebenarnya tidak menghormati adab persidangan.
Setiausahanya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, mengemukakan
soalan-soalan baru ketika sesi penggulungan dibuat pihak kerajaan itu
adalah perkara yang tidak mengikut prosedur Dun.
Menyelar tindakan tersebut, Che Abdullah berkata, beliau tidak kisah
dengan kritikan lantang mahupun pendedahan yang dibuat semasa
persidangan, tetapi kecewa dengan sikap Husam kerana bersikap sebegitu
tanpa menghantar satu soalan pun kepada pejabat Speaker.
“Pada hari akhir penggulungan mahu mengemukakan berpuluh-puluh soalan, itu tidak betul dari segi prosedur dewan.
“Datuk Husam sendiri seorang ahi politik berpengalaman dan pernah
menjadi Exco dan Ahli Parlimen, serta pernah menjadi setiausaha kepada
menteri besar. Dia tahu sangat peraturan-peraturan ini.
“Tidak ada satu pun soalan daripada Datuk Husam untuk dijawab secara
bertulis atau lisan. Masa penggulungan baru mahu kemukakan soalan baru.
Ini tidak menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjawab tuduhan seumpama
itu,” katanya kepada media di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tanggapan pihak tertentu
menganggap Husam tidak diberikan peluang bersuara semasa sidang Dun
Kelantan yang berakhir pada minggu lalu.
Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri
Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan merasmikan Kempen
Kawalan Kumbang Merah Palma peringkat negeri dan turut dihadiri Pengarah
Jabatan Pertanian Kelantan, Karim@Mohd Khari Yusof .
Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, kalau ada sebarang perkara yang
ingin dibangkitkan, Husam boleh kemukakan soalan mengikut prosedur dan
kerajaan akan menjawabnya pada persidangan akan datang.
“Siapa kata Datuk Husam tidak diberikan peluang berucap. Selepas
menteri besar membentangkan bajet, tidak ada orang lain yang berucap
lebih panjang daripada Datuk Husam.
“Saya yakin tidak ada dewan di Malaysia ini, baik di parlimen dan
sebagainya yang memberi ruang kepada pembangkang untuk bercakap panjang,
tetapi berlaku di Dun Kelantan, Datuk Husam berucap hampir satu jam dan
tidak diganggu.
“Cuma masa dekat-dekat penghabisan saya ganggu sebab saya rasa terlalu
melampau yang mana ucapan tidak berdasarkan fakta dan maklumat tidak
betul.
“Saya cuma perbetulkan sedikit apabila dia menyebut mengenai Kompleks
Perkayuan Kelantan tidak pernah memberi tender dan sebagainya. Saya tahu
sebab saya bekas pengurus di situ dan saya memastikan tender berjalan
dengan betul,” katanya.
Sidang Dun baru-baru ini agak luar biasa dan panas apabila Husam terus
berani mengkritik kerajaan menyebabkan ia berlarutan sehingga lewat
petang, bahkan turut menguji kebijaksanaan speaker Dun.
0 orang berkata:
Post a Comment