Najib tak perlu banding diri dengan Mahathir
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu
membandingkan pengaruh beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam soal
mendapatkan sokongan daripada ahli Umno.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata,
perbandingan itu tidak patut dibuat memandangkan bekas perdana menteri
itu tidak lagi berada dalam Umno.
"Tiada sebab untuk membangkitkan soal lebih atau kurang pengaruh Tun
Mahathir dalam kalangan ahli Umno kerana Tun Mahathir sudah lama
meninggalkan parti itu. Sebab itu Tun Mahathir tubuhkan parti baharu,"
katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, Najib yang juga Presiden Umno dalam satu laporan media
mendakwa beliau mempunyai kelebihan berbanding Mahathir yang sehingga
kini gagal menjatuhkannya.
Menurut Najib, ini disebabkan beliau bergaul dengan pemimpin-pemimpin
Umno sejak pertama kali menyertai parti itu pada usia 23 tahun.
Sedangkan, dakwanya, Mahathir langsung tidak rapat dengan Ketua Umno Bahagian.
Menurut Mukhriz, kenyataan Najib itu merupakan pandangan peribadi beliau saja.
"Apa yang nampak, ada juga kalangan ahli Umno sekarang yang tak setuju
dengan Najib. Cuma mereka tidak sanggup menyatakan secara terbuka,"
katanya.
Beliau berkata, kenyataan Najib itu juga seolah-olah mencerminkan dirinya dalam keadaan terdesak.
"Biasanya dalam soal berbuat baik ini, orang lain yang nampak, bukan
dinyatakan oleh tuan punya badan sendiri. Ini umpama angkat bakul
sendiri.
"Lagipun beliau membuat kenyataan itu dalam satu temu ramah yang
dirancang. Sudah tentu kehebatan diri yang diutamakan dulu, lebih-lebih
lagi menjelang PRU ini," katanya.
Mahathir mengambil keputusan keluar Umno kali kedua pada Februari tahun
ini, dan semakin lantang mengkritik cara pentadbiran perdana menteri,
terutama dalam isu kuasa dan integriti, khususnya berkaitan 1MDB.
0 orang berkata:
Post a Comment