'Takkan kami nak merajuk pula dengan DAP'
SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak terkilan
dengan tindakan DAP yang tidak menjemput pihaknya dalam Persidangan
Kebangsaan DAP akan datang.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, DAP
berhak untuk berbuat demikian memandangkan Bersatu bukan sebahagian
daripada rakan Pakatan Harapan.
“Tidak mengapa kalau tidak dijemput (ke Persidangan Kebangsaan DAP). Kami pun bukannya rakan Pakatan Harapan.
“Tak kan mahu merajuk pula kalau DAP tidak jemput kami,” selorohnya ketika dihubungi Sinar Online.
Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan tidak akan
dijemput ke persidangan kebangsaan DAP yang dijadualkan pada 4 Disember
ini.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha penganjur parti, Anthony Loke menerusi laporan sebuah portal tempatan.
Beliau menjelaskan ini adalah kerana Bersatu bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan.
"Tidak ... Jemputan kami hanya kepada PKR dan Parti Amanah Negara," katanya.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya
dijadikan isu memandangkan pihaknya masih bekerjasama erat dengan DAP
dalam soal lain.
“Bersatu memang tidak kisah bila kami tidak dijemput. Persidangan DAP bukanlah sebesar Kongres Pakatan Harapan terdahulu.
“Jadi ia tidak mengapa kalau kami tidak dijemput,” ujarnya lagi walaupun hubungan parti itu boleh dianggap rapat mutakhir ini.
Difahamkan Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat pada minggu
hadapan bagi membincangkan gerak kerja PRU14 termasuk kelulusan
kehadiran parti Bersatu dalam keluarga besar pakatan itu.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.
0 orang berkata:
Post a Comment