Air mula melimpah, jalan ditutup pada kenderaan ringan
MARANG – Berikutan hujan lebat berterusan melanda daerah ini, laluan
utama di Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Merchang di sini, mula
dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan ringan, tengah hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK)
Merchang, Fikri Mohamad berkata, hanya kenderaan berat di benarkan
menggunakan laluan itu susulan hujan lebat melanda sejak awal pagi.
Menurutnya, laluan utama itu dinaiki air disebabkan air sungai dan air
bukit yang melimpah dan selain itu, keadaan itu juga turut menyebabkan
laluan di Serating dinaiki air hingga menyebabkan keadaan trafik
perlahan.
“Kita dapati kejadian berlaku disebabkan air sungai dan air bukit
melimpah, namun selepas hujan reda ia akan kembali surut. Secara
keseluruhan keadaan masih terkawal namun semua pihak dalam keadaan
bersiap sedia.
“Dalam keadaan cuaca ketika ini, saya ingin menasihatkan semua penduduk
terutamanya yang tinggal berhampiran sungai dan tebing bukit di
Merchang agar sentiasa berwaspada jika berlaku sebarang kejadian tidak
diingini,” katanya.
Banjir kilat kerana masalah perparitan
Dalam perkembangan lain, di Kampung Batu Penunggul pula, seorang
penduduk, Rosmah Engah, 36, berkata, rumahnya dinaiki air berikutan
hujan lebat yang melanda dan dipercayai ia disebabkan masalah
perparitan tidak sempurna.
Menurutnya, air mula melimpah di sekeliling rumah sebelum memasuki ke
bahagian dalam rumah pada tengah hari, namun apa yang mengecewakannya
ialah keadaan itu sudah berlarutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian.
“Setiap kali hujan lebat melanda tanpa henti, kawasan rumah dan
bahagian dalam rumah akan dinaiki air dan menyebabkan kami sekeluarga
terpaksa menanggung susah bukan sahaja ketika air naik tetapi juga
selepas air surut,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment