Penduduk Kuala Terengganu cemas air naik
KUALA TERENGGANU - Cemas!
Itu perasaan penduduk di kawasan bandaraya Kuala Terengganu bila rumah
mereka dinaiki air awal hari ini ekoran hujan lebat sejak 4.00 pagi.
Situasi berkenaan juga menyebabkan beberapa jalan utama dan taman perumahan khususnya di sekitar bandaraya ini dinaiki air.
Antara kawasan taman perumahan yang ditenggelami air ialah Taman Sri Intan dan Taman Alamanda 1, 2 dan 3.
Setakat ini Jalan Serating ke Merchang (Marang) turut dinaiki air
sedalam 0.6 meter sejauh 100 meter dan tidak boleh dilalui kenderaan
ringan dari kedua-dua arah.
Seorang penduduk di Taman Alamanda, Mazlan Awang, 48, berkata hujan
lebat yang turun sejak pukul 4 pagi itu menyebabkan kediamannya dinaiki
air sedalam 0.3 meter.
"Kali terakhir kawasan ini dinaiki air pada tahun 2009. Tapi kali ini
agak teruklah mungkin masalah sistem peparitan," katanya ketika ditemui
Bernama di sini hari ini.
Seorang suri rumah, Rohaya Omar, 45, berkata kebiasaanya apabila hujan
air memang naik dan surut dengan cepat namun kali ini air bertahan agak
lama.
"Sebelum ini dalam masa sejam air sudah surut sekarang tiga jam pun
masih belum turun... dah banyak barang dalam rumah rosak peti ais pun
habis terbalik," katanya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) turut melakukan
rondaan dan pemantauan di kawasan terbabit bagi memastikan keadaan
terkawal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Che Shaari Abdullah
berkata selain kawasan bandar dan taman perumahan pihaknya turut
melakukan rondaan di kawasan kampung.
Katanya bagi tujuan itu sebanyak tiga pasukan yang melibatkan lapan anggota telah ditugaskan meninjau kawasan yang berisiko.
"Selain mengenalpasti kawasan, kita juga akan menghulurkan bantuan
dengan segera kepada orang ramai yang memerlukan terutamnya di kawasan
yang terdedah dengan banjir.
"Setakat ini tiada lagi perpindahan (mangsa banjir) dilakukan di Kuala Terengganu dan keadaan masih terkawal," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Angkatan Pertahanan Awam
Malaysia (APM) Amirsarafudin Zalman berkata situasi air yang melimpahi
atas jalan adalah disebabkan air hujan lambat mengalir ke laut ekoran
air pasang yang berlaku awal pagi tadi.
Katanya, keadaan kini adalah terkawal dan banjir belum diisytiharkan di negeri ini. Bilik Gerakan Bencana Negeri mula dibuka hari ini bagi penyaluran
maklumat yang sahih dan terkini kepada orang ramai dan pihak media
berkaitan banjir.
"Kita juga menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan gambar-gambar
yang boleh mencetuskan situasi panik berkaitan situasi banjir di media
sosial.
"Orang ramai yang inginkan maklumat berkaitan banjir boleh layari laman
web http://etindakan.terengganu.gov.my/ atau hubungi bilik gerakan di
09-6236655 atau 09-6236644," katanya kepada pemberita dalam sidang
akhbar di bilik gerakan itu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini. -
Bernama
2 orang berkata:
Dah dekat dah tu.....
Tu la, sapa suruh sapu balak
Banjir kalu luar klate Kira bala dari tuhan. Kalu banjir besorrrr kat klate kira ujian tuhan.
Post a Comment