'Tangkis serangan luar, dalam Umno'
[DIKEMASKINI] PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) ke-70 yang
bermula hari ini hingga 3 Disember memberi kelainan buat DATUK SERI DR
AHMAD ZAHID HAMIDI apabila beliau diberikan peluang merasmikan
persidangan ketiga-tiga sayap secara serentak.
Bukan sekadar itu, pentas PAU kali ini juga akan menyaksikan buat
pertama kali Ahmad Zahid berucap sebagai orang nombor dua parti yang
kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Umno.
PAU kali ini dilihat sesetengah pemerhati sebagai platform untuk
kembali meyakinkan kewibawaan parti berkenaan kepada kepada rakyat.
Umno yang dilihat sebagai tunjang perpaduan dalam kalangan parti
komponen BN dilihat agak goyah selepas dihimpit konflik yang menyaksikan
beberapa kepimpinannya beralih arah disamping isu peningkatan kos sara
hidup dan kenaikan harga barang.
Pastinya perwakilan ternanti-nanti apakah perancangan seterusnya Ahmad
Zahid bagi mengukuhkan parti, terutama selepas Umnno dilanda beberapa
isu ‘panas’ termasuk penubuhan parti baharu oleh bekas
pemimpin-pemimpinnya. Satu tugas yang diakui beliau sebagai amat berat,
lebih-lebih lagi PRU14 bakal menjelma bila-bila masa dalam tempoh
setahun setengah ini.
Ikuti perkongsian Ahmad Zahid dalam wawancara bersama Editor Sinar
Harian, Khairul Amri Yasin, Penolong Editor Sinar Online, Mohd Fazli
Zainul Abidin, wartawan, Siti Nursyahidah Abu Bakar dan jurufoto, Afiq
Razali.
PAU 2016 paling penting sebelum PRU14. Bagaimana momentum ahli parti
jika mengambil kira keadaan politik hari ini yang banyak menekan Umno?
Momentum yang kita rasai di semua peringkat menunjukkan cabaran dan kekangan semakin hangat.
Namun, dengan beberapa kaedah untuk merapatkan barisan di akar umbi
membawa ke peringkat tertinggi kepimpinan melihatkan bahawa kesiap
siagaan ahli Umno meningkat berbanding PRU lalu.
Apatah lagi apabila terdapat mantan pemuka kanan yang pernah memegang
jawatan dalam kepimpinan Umno itu kini berada di luar gelanggang. Kita
tahu bahawa mood yang ditunjukkan itu agak berbeza dalam PAU kali ini
namun kita telah mengadakan beberapa pengubahsuaian terutamanya dalam
memberikan usul kepada ucapan presiden.
Apatah lagi usul-usul melibatkan soal agama, pendidikan dan ekonomi.
Kami merasakan apabila Umno semakin terasak, kita dapat merungkaikan
beberapa isu dengan mendekati khalayak melalui kaedah komunikasi yang
pada hemat kami telah disesuaikan.
Datuk Seri yang menjalankan tugas timbalan presiden akan
merasmikan perhimpunan sayap parti. Apakah harapan Datuk Seri kepada
mereka untuk membawa usul PAU nanti?
Tugas ini hanya satu kesinambungan kerana sebelum ini pun ketiga-tiga
naib presiden telah diberikan tanggungjawab untuk membantu presiden dan
timbalan presiden. Kami berada dalam jawatankuasa pengurusan untuk
mengendalikan urusan harian parti dan juga bagi pengendalian PAU.
Tanggungjawab ini adalah sesuatu yang lazim dilakukan oleh saya sebelum
ini. Cumanya secara dekat kini saya dapat membantu presiden parti untuk
merealisasikan sebarang bentuk gerak kerja yang ditetapkan oleh
kepimpinan parti.
Turut jadi tumpuan ialah isu kerjasama Umno dengan Pas. Bagaimana isu ini akan menjdikan PAU 2016 lebih unik?
Menjadi satu kelaziman dari segi liputan media dan pemerhatian oleh
khalayak di luar Dewan Merdeka, segala ucapan yang dilontarkan oleh
sayap-sayap, timbalan presiden dan juga presiden malah ucapan
penggulungan pemuka Umno yang pegang portfolio kementerian tidak hanya
kepada perwakilan atau ahli Umno.
Ia juga merungkai terutama dari segi penjelasan kepada masyarakat di
Malaysia keseluruhannya. Soal kerjasama dengan sebuah parti Islam, ia
bukan suatu kerjasama politik atau tahaluf siyasi.
Tetapi, ia satu tabayun siyasi iaitu satu usaha pencerahan atau
kristalisasi terhadap isu-isu yang berkait soal Islam, ummah dan
masyarakat Melayu keseluruhannya.
Di dalam hal ini tentunya kesefahaman untuk proses menterjemahkan
tabayun ini berjalan dengan baik dan ia merupakan satu pendekatan baharu
yang selama ini tidak diperoleh oleh kerajaan atau mana-mana parti
politik.
Adakah akan ada slot khas untuk perjelaskan tabayun ini atau wakil Pas akan dijemput ke PAU kali ini?
Tabayun ini tidak semestinya menjemput mereka ke PAU 2016. Tetapi, kami
telah memulakan beberapa usaha sebelum ini dan secara rasminya kerajaan
telah menjemput semua ahli parlimen Islam termasuk dari Pas untuk
melakukan penjernihan terhadap RUU355.
Perkara ini dilakukan bukan khusus kepada usul persendirian yang dibawa
oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi bagi
hemat saya pencerahan harus dilakukan dalam kalangan ahli-ahli parlimen
Islam terlebih dahulu kerana kalau kita berbeza pendapat ia harus dibuat
di luar kerangka perbahasan terbuka di Dewan Rakyat.
Tetapi, kita hendaklah bersetuju untuk tidak bersetuju dan bersetuju
untuk bersetuju. Dalam kalangan ahli parlimen Islam, ia dilakukan
sebagai satu proses kristalisasi yang saya sebutkan tadi.
Umno terutamanya presiden diserang secara agresif oleh pakatan
pembangkang mencakupi pelbagai isu. Bagaimana Datuk Seri memberi
semangat kepada ahli dan presiden dalam menghadapi serangan tersebut?
Serangan bukan saja dalam bentuk peluru politik, ia telah menjadi lebih
besar dengan mortar-mortar isu yang ditembak bukan hanya kepada
presiden. Malah, kita lihat bahawa peluru berpandu isu yang pelbagai
bentuknya ini turut ditujukan kepada Umno keseluruhannya.
Sebagai orang yang diberi tanggungjawab untuk membantu, saya melakukan usaha untuk turun ke bawah.
Bukan hanya melakukan penjelasan mengikut komunikasi bersemuka, tetapi
melalui beberapa pendekatan terutamanya dalam memastikan penyaluran
maklumat ini sampai kepada khalayak khususnya golongan sasaran.
Apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan ini kita tidak boleh gunakan
sistem tradisional dalam mendekati khalayak. Dalam kapasiti saya
tentunya saya akan gunakan segala ruang yang ada bukan hanya melakukan
penjernihan terhadap isu-isu berkenaan tetapi mencari jalan dan
pendekatan untuk mengatasinya.
Biarpun agak berat namun kita boleh menghadapinya kerana suara rakyat
adalah suara keramat dan persepsi yang negatif atau kabur bukan hanya
perlu diperjelaskan, tetapi dicari jalan penyelesaian.
Tetapi, pendekatan Umno dalam media sosial masih perlahan berbanding pembangkang...
Saya bersetuju dengan analisis itu tetapi usaha-usaha berstruktur harus
diadakan kerana kita lihat soal kredibiliti pada propaganda seteru
politik itu dapat lebih kepercayaan kerana tembakan kepada budaya
kebencian sebenarnya telah melekat di minda majoriti khalayak.
Kelemahan di dalam menangani permasalahan ini memang jelas dari
perolehan dokongan dalam PRU sebelum ini. Namun, tidak mustahil jika
waktu yang singkat ini digunakan untuk mengubah struktur dan pendekatan
bagi menggunakan sepenuhnya metodologi komunikasi tanpa lisan dengan
pengaruh media dari alam maya untuk digunakan secara selaras antara
banyak medium atau perantara media maya yang memang wujud dalam kalangan
aktivis kami tetapi tidak selaras sebagaimana cybertroopers yang berada
di luar gelanggang kerajaan Umno dan BN.
Jika diberikan skala dari 1 hingga 10, setakat mana kemampuan media sosial Umno?
Mungkin hanya berada di skala 5. Saya fikir masih terlalu banyak ruang
untuk kita mencapai ke tahap sekurang-kurangnya 9.5 (peratus). Untuk
memperbaikinya, ia harus bukan hanya mengikut acuan yang dilakukan oleh
mereka yang berada di luar gelanggang tetapi mungkin ada beberapa
pendekatan untuk menggunakan kaedah big data bagi melakukan analisis dan
kaedah yang tidak lagi menggunakan pendekatan fire-fighting lagi.
Bagaimana tumpuan parti kepada negeri-negeri yang mempunyai sokongan
besar terhadap bekas pemimpin utama seperti di Johor, Kedah dan Sabah?
Saya memerhati dengan dekat perkembangan di ketiga-tiga negeri
berkenaan. Kita tidak tolak pengaruh mereka dan dalam masa sama DNA Umno
dan BN hendaklah merapatkan barisan kerana kita tidak boleh terlepas
daripada DNA ini biarpun hati mereka menyokong BN tetapi tidak munasabah
jika kertas undi di tangan mereka tetapi mereka berubah angin.
Adakah ancaman kepada Umno kuat atau sekadar berlalu begitu sahaja?
Ancaman kepada Umno memang kuat bukan hanya menjelang PRU14 tetapi pada
PRU lalu. Kita pernah menghadapi masalah sama pada 1987 dan 1988
apabila Umno terbelah. Ketika pilihan raya pada 1990, BN masih menang.
PRU 1999 juga ada masalah sama kerana 1998 kerana kita hadapi pengaruh
yang tak kurang besarnya di luar kerana gelombang itu dibawa oleh mereka
yang pernah berada dalam kepimpinan Umno sebagai orang nombor dua.
Namun, kita masih boleh mengekalkan pengaruh untuk menggamit sokongan
daripada rakyat.
Tetapi, gelombang 'serangan' zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk
Seri Anwar Ibrahim amat berbeza. Boleh atau tidak dikatakan gelombang
ketika Tan Sri Muhyiddin hanya kecil.
Kita tidak boleh memperkecilkan gelombang kecil atau besar. Jika tidak
ada tebatan banjir politik atau penahan ombak yang lebih kukuh maka ia
akan jadi gelombang yang lebih besar. Maka, saya tidak mengambil sikap
untuk melakukan sindrom penafian tetapi kita mesti mengambil tindakan
yang lebih proaktif dan tidak defensif untuk memastikan tebatan banjir
tidak runtuh dan juga tebatan gelombang politik itu tidak hancur
disebabkan gelombang yang datang bertubi-tubi.
Sebagai naib presiden yang menjalankan tugas orang nombor dua,
sejauh mana hubungan Datuk Seri dengan presiden untuk membincangkan
masalah parti dan kerajaan ketika ini?
Saya mempunyai chemistry yang begitu lama dengan perdana menteri kerana
kerjaya politik saya dalam kerajaan bermula pada 1 Oktober 1987 apabila
saya dilantik sebagai setiausaha politik beliau.
Satu tempoh yang panjang ini mungkin memudahkan kerja-kerja saya untuk
membantu beliau bukan sekadar perbincangan, tetapi juga dalam
melaksanakan hasil perbincangan dan keputusan yang dibuat sama ada dalam
parti atau melalui jemaah.
Apa yang saya terjemahkan dari perjalanan yang panjang ini mungkin
saya kerap kali tidak perlu merujuk keputusan-keputusan kecil kepada
beliau sebaliknya saya sendiri lakukan. Tetapi keputusan-keputusan besar
sudah tentunya saya harus merujuk kepada beliau terutama isu-isu
melibatkan perkara sensitif dan memerlukan keputusan muktamad daripada
beliau.
Menjelang PRU14, pembangkang gempita dengan strategi satu lawan satu dengan BN. Jika ini berlaku, apa nasib Umno?
Kita tidak perlu membuka strategi kepada umum kerana jika dikongsi bersama ia bukan lagi satu strategi.
Oleh demikian sebagai sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi
tentunya jika lebih ramai menawarkan diri maka lebih meriah sesuatu
pesta politik terutamanya dalam PRU.
Ia bergantung sama ada jika Mursyidul Am Pas, Ustaz Hashim Jasin dalam
pandangannya memperlihatkan bahawa secara idealistiknya, satu lawan satu
adalah kaedah terbaik. Kita tidak boleh sekat Pas daripada bertanding
di kerusi yang mereka fikir boleh menang dan hak mutlak mereka.
Datuk Seri ada menyatakan bahawa pemilihan calon BN pada PRU14
tidak lagi akan dibuat berdasarkan kuota parti komponen sebaliknya
memilih calon boleh menang. Maknanya, lebih banyak muka baharu dan tiada
lagi calon kitar semula akan diketengahkan?
Itu hanya merupakan satu pandangan yang dapat saya kutip apabila saya
berjumpa akar umbi. Namun, dasar kesamaan dalam BN harus dihormati.
Tentunya kita melaksanakan konsep berkongsi kuasa cuma rakan-rakan kita
dalam BN hendaklah terus bersama-sama dengan jentera parti khususnya
Umno yang menjadi tulang belakang kepada BN. Mereka hanya menang di
kawasan-kawasan yang dikendalikan oleh Umno.
Mereka tidak dapat mengaut semula pengaruh politik di kawasan-kawasan
yang diwakili oleh kaum lain. Tentunya ini turut meresahkan kepimpinan
Umno namun kita tidak menolak bahawa kaedah konvensional itu harus
difikirkan, mungkin ada beberapa kaedah bagi penyelesaiannya.
Komponen BN ada membuat ugutan tarik diri, letak jawatan dalam Kabinet berhubung isu RUU 355. Apa nasihat Datuk Seri?
Saya lihat prestasi mereka (parti komponen) menurun di mana MCA
meletakkan 15 calon tetapi yang menang tujuh. MIC pula mengekalkan
kerusi yang diperoleh. Manakala Gerakan mendapat tiga kerusi dan satu
lagi kerusi dalam PRK.
Sebagai Naib Presiden Umno, saya rasa tidak perlu ugutan sebegitu
dijadikan pendekatan untuk mengekang perjalanan lancar sebuah badan
induk yang menjadi tulang belakang kerajaan sekarang. Kita maklum bahawa
parti yang bergabung dalam PR dahulu pun menghadapi ugutan dan masalah
yang sama. Saya juga dapat menelah Pakatan Harapan juga tentu akan
menghadapi masalah yang lebih besar apabila pengagihan kerusi-kerusi
dilakukan.
Pada PRU13, pembangkang memainkan isu pengundi Bangladesh.
Untuk PRU14 pula, sudah ada isu kononnya pekerja China dibawa masuk ke
Malaysia sehingga 300,000 orang bagi memastikan kemenangan BN. Apa komen
Datuk Seri?
Sudah terbukti isu pengundi hantu daripada Bangladesh itu satu
pembohongan. Saya telah semak rekod, ia bukan saja satu pembohongan
malah tiada rakyat Bangladesh yang diberikan kewarganegaraan untuk
membolehkan mereka jadi pengundi.
Tetapi persepsi yang buruk ini telah dipercayai dan pembangkang berjaya
menjadikannya satu pembohongan yang tidak berasas. Mereka telah cuba
mengulangi pembohongan ini kononnya rakyat China akan mengundi di sini.
Saya sebagai Menteri Dalam Negeri sangat mengetahui tidak mudah untuk
jadi penduduk yang diberikan pas residen apatah lagi tahap penduduk
tetap. Jauh lebih sukar untuk diberikan kewarganegaraan kerana kita
tertakluk dengan perkara-perkara dalam perlembagaan.
Terima kasih kerana
ini satu strategi yang baik dan taktikal daripada pembangkang untuk
membohongi rakyat dan saya akan tangani masalah ini dan saya yakin
rakyat tidak akan terus hanyut dengan pembohongan ini.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah disiasat atas dakwaan
menerima bantuan kewangan dari George Soros. Ada sesetengah pihak kata
BN pun ada terima duit orang luar. Bagaimana dengan persepsi itu?
Dana yang datang daripada Open Society Foundation jelas disanggah oleh
masyarakat Amerika Syarikat (AS) sendiri apabila kumpulan yang anti
kepada kemenangan Donald Trump dan kita tahu pembiaya kepada yayasan itu
mempunyai maksud peribadi untuk meruntuhkan sistem yang ada dan untuk
menafikan kemenangan mutlak atas pilihan majoriti rakyat AS.
Akhir-akhir ini Sarawak ada menyuarakan pelbagai isu berkaitan negeri
itu seolah-olah mahu mendesak perdana menteri. Ada yang melihat ia akan
menyebabkan Kerajaan Persekutuan hilang kuasa terhadap Sarawak.
Bagaimana kerajaan mengatasi isu ini?
Perdana menteri telah berjanji untuk menyelesaikan perjanjian dalam
pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963. Proses untuk mengulang kaji
perjanjian itu sedang dijalankan dan saya fikir ia dapat diselesaikan
dalam semangat kekeluargaan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Ramai yang berpandangan jika Umno ingin pulihkan kembali
pengaruhnya, Datuk Seri Najib harus berundur. Adakah Datuk Seri
bersetuju?
Pada 1987, berlaku penolakan pada peringkat kepimpinan kerajaan dan
parti. Pada 1988, Umno diharamkan. Tetapi apabila imej dengan
penjenamaan kredibiliti baru pada tahun-tahun berikutnya maka dalam PRU
1990 jelas BN dapat sokongan majoriti.
Kita lihat dalam PRU berikutnya, BN masih menang hingga apabila Tun
Abdullah Ahmad Badawi ambil alih parti dan kerajaan PRU yang diketuainya
memperlihatkan pencapaian paling cemerlang dalam sejarah PRU di negara
ini. Kita merasakan sesuatu harus dilakukan untuk pertahankan institusi
kepimpinan dan walaupun pemimpin-pemimpin sebelum itu menghadapi
penghakisan kepercayaan, namun usaha dalaman perlu dilakukan hingga
kejayaan dapat didakapi oleh Umno dan BN.
0 orang berkata:
Post a Comment