Peniaga jangka harga minyak masak naik esok
ROMPIN - Selepas pengumuman penstrukturan semula subsidi minyak masak
pada 26 Oktober lalu, peniaga menjangkakan harganya akan naik mulai
esok.
Seorang peniaga cakoi yang hanya mahu dikenali sebagai Raziah, berkata,
dia biasa menggunakan minyak masak jenis 5 kilogram dan kali terakhir
membelinya pagi tadi.
Menurutnya, harga masih sama namun dia menjangkakan harga akan naik
mulai esok selepas melihat minyak masak jenis sawit semakin berkurangan
dan tanda harga pada rak sudah dicabut.
"Pagi tadi saya beli masih ada dan harga sama tetapi saya rasa minyak
akan mula naik esok sebab dah tiada tanda harga pada rak, mungkin
tujuannya menggantikan tanda harga baharu dengan harga baharu," katanya
kepada Sinar Harian, hari ini.
Tinjauan wartawan di pasaraya terbabit mendapati hanya tinggal beberapa jenis minyak masak jenama tertentu sahaja.
Sinar Harian 26 Oktober lalu melaporkan Menteri Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah
Zainudin mengumumkan, harga jualan minyak masak bagi paket 1 kilogram
kekal RM2.50.
Bagaimanapun, harga jualan minyak masak bagi paket melebihi satu
kilogram adalah mengikut harga pasaran antara RM2.70 hingga RM2.90
setiap kilogram.
Hamzah berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 September lalu
bersetuju supaya KPDNKK mengambil alih pengurusan Skim Penstabilan Harga
Minyak Masak dari Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi
(KPPK) tersebut berkuat kuasa 1 November ini.
"Kerajaan mengekalkan harga jualan dengan menstruktur semula jumlah
subsidi bagi membolehkan harga pasaran ini dikekalkan," katanya dalam
satu sidang media khas yang diadakan di ibu pejabat KPDNKK, hari ini.
Menurut Hamzah harga pasaran minyak masak di negara ini adalah rendah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.
0 orang berkata:
Post a Comment