Azmin Ali
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
 
PETALING JAYA - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab ke atas kebocoran maklumat sulit berkenaan dengan penilaian pembelian kapal selam Scorpene, yang dijual oleh Syarikat Terasasi Hong Kong Limited kepada syarikat DCNS Perancis.

Menurutnya lagi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) telah mendedahkan skandal itu, yang berlaku ketika Najib menyandang jawatan Menteri Pertahanan.


Azmin berkata, menurut Suaram perkara itu didedahkan oleh seorang peguam Perancis, Joseph Breham yang diambil mereka.


"Pendedahan ini adalah krisis nasional yang melibatkan empat perkara utama dalam prosiding mahkamah Perancis," kata beliau pada sidang media di sini, pagi tadi.


Minggu lalu, Breham berkata, satu dokumen yang sangat sulit - penilaian Tentera Laut Malaysia terhadap kapal selam kelas Scorpene yang akan dibeli oleh kerajaan, didakwa telah "dibeli" oleh sebuah syarikat pertahanan Perancis.


Peguam itu yang mewakili Suaram, pertubuhan hak asasi manusia, mendakwa syarikat berkenaan didakwa membayar 36 juta euro (RM142 juta) kepada Terasasi kononnya untuk kerja-kerja "kejuruteraan komersial".


Breham berkata, hakim siasatan Perancis yang menyiasat kes yang difailkan oleh Suaram terhadap DCNS, atas dakwaan rasuah, mahu tahu tujuan bayaran tersebut dan meminta laporan transaksi kewangan daripada syarikat berkenaan.


Selain itu, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak mendakwa Terasasi dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan juga ayahnya Abdul Malim Baginda telah menyelewengkan isu kapal selam.


Beliau berkata, skandal Scorpene telah mendedahkan maklumat strategi pertahanan negara kepada pihak luar yang nyata boleh menggugat sistem pertahanan negara.

"Pendedahan ini akan mengancam keselamatan negara dan nyawa prajurit negara.


"Saya mendesak Najib supaya tidak ambil mudah dengan skandal ini, dan tampil bagi jawapan segera bagaimana skandal ini boleh berlaku," katanya.