Krisis Euro boleh jejas ekonomi serantau
Krisis Euro
PASIR PUTEH - Krisis di zon mata wang Euro boleh memberi kesan kepada kestabilan ekonomi di rantau ini termasuk menjejaskan eksport barangannya ke Eropah, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.
  
"Kuasa ekonomi baharu seperti China dan India selain Asean tidak akan terlepas daripada menerima tempias daripada krisis itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian 'Tok Aman Bali Beach Resort' yang disempurnakan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, di sini hari ini.
  
Beliau mengulas persediaan Malaysia untuk menghadapi kesan daripada krisis ekonomi yang sedang melanda negara Kesatuan Eropah.
  
Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata Malaysia bersedia menghadapi cabaran itu antaranya dengan melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
  
Beliau menarik perhatian bahawa semua projek domestik akan dapat menjana pertumbuhan baharu ekonomi bagi menangkis sebarang bentuk ancaman berpunca daripada krisis itu.
  
Awang Adek menggesa rakyat supaya bersama kerajaan terutama tidak mensabotaj ekonomi negara seperti mengadakan demonstrasi jalanan dan rusuhan, kerana ia boleh menyebabkan pelabur asing takut untuk melabur di negara ini.
  
"Demonstrasi jalanan itu juga boleh menjejaskan industri pelancongan yang memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara," katanya. - Bernama