Datuk Seri Mustapa Mohamad
Datuk Seri Mustapa Mohamad
 
KAZAN, Rusia - Pihak luar bukan sahaja kagum dengan kejayaan dicapai Malaysia, bahkan berminat mencontohi model pembangunan negara ini, kata Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, perasaan kagum itu dizahirkan ketika beliau bertemu dengan pemimpin-pemimpin negara luar ketika mempromosikan perdagangan dan pelaburan negara.


Mustapa berkata, ketika mengunjungi Presiden Tatarstan, Rustam Minnikhanov semalam, beliau yang melawat Malaysia pada Disember 2010 amat tertarik dengan dinamika Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara.


"Beliau mahu mencontohi Malaysia dalam membangunkan Putrajaya dan mencadangkan kepada Moscow untuk belajar daripada negara kita, lalu satu kumpulan dihantar untuk tujuan tersebut," katanya hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa ramai orang luar yang melawat Malaysia kagum dengan pelbagai kejayaan yang dicapai negara, dan mereka dilihat seolah-olah memiliki persepsi yang sama sekali berbeza dengan realiti dalam negara.


Najib dipetik sebagai berkata, banyak petunjuk dalam negara yang memberikan gambaran jelas mengenai kejayaan yang dicapai negara selaras dengan pelbagai inisiatif kerajaan.


Mustapa berada di Kazan, ibu negara republik Tatarstan bagi menyertai Mesyuarat Menteri-menteri Apec yang Bertanggungjawab Terhadap Perdagangan (MRT) dan lawatan kerja di Moscow.


Mengenai pertemuan dengan Rustam, Mustapa berkata, ia bagi membincangkan hubungan perdagangan dua hala dan lain-lain kerjasama antara dua negara.


"Beliau berminat untuk mengerjakan kerjasama lebih erat dengan Malaysia terutama dalam bidang perdagangan bagi meningkatkan lagi ekonomi Kazan," katanya.