Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini membentang Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2012) bagi memohon peruntukan tambahan berjumlah RM13,795,345,000 termasuk RM360 juta bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai peruntukan mengurus tambahan pertama tahun ini.
  
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
  
Ia antara lain bagi tujuan perbelanjaan pengurusan 14 kementerian, Perkhidmatan Am Perbendaharaan, SPR, Perbendaharaan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
  
Menurut rang undang-undang itu, kira-kira RM11.2 bilion akan disalurkan kepada Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Kementerian Kerja Raya (RM446 juta) diikuti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (RM404 juta). 

Sejumlah RM360 juta akan diperuntukkan kepada SPR, Kementerian Dalam Negeri (RM353.5 juta), Kementerian Pertahanan (RM210 juta), Kementerian Pelajaran (RM195 juta) dan JPM (RM112.9 juta).
  
Ia merupakan peruntukan tambahan kepada RM232.8 billion peruntukan bagi Belanjawan 2012 yang diluluskan tahun lepas.

Peruntukan RM360 juta itu diperlukan oleh SPR untuk mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ketika ramai menjangkakan bahawa ia akan diadakan dalam waktu terdekat.
Laporan media sebelum ini, memetik Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, kos mengendali PRU13 dijangka mencecah RM300 juta berbanding RM200 juta bagi pilihan raya umum yang lalu.

Beliau berkata, anggaran itu adalah sekiranya pilihan raya itu dijalankan secara serentak di semua negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang kini dikuasai pembangkang.

"Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan untuk proses pilihan raya umum akan datang ialah pertambahan bilangan pemilih serta peralatan-peralatan bantuan seperti kotak undi, penindik dan kenderaan," katanya.
 
Abdul Aziz berkata, langkah melaksanakan undi pos di luar negara juga menyebabkan peningkatan dalam perbelanjaan proses pilihan raya akan datang kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

Beliau berkata, SPR perlu membelanjakan sekurang-kurangnya AS$10 bagi kos penghantaran untuk seorang pengundi pos di luar negara.