Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
SHAH ALAM - Pas mengulangi pendirian bahawa isu pilihan raya dan musim haji akan selesai dengan sendirinya jika Perdana Menteri, yang mempunyai hak dalam memanggil pilihan raya, membayangkan lebih awal tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan tidak membiarkan spekulasi berlarutan.

"Segalanya akan selesai jika tarikh pilihan raya diketahui lebih awal," kata Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan media hari ini.


Langkah itu kata beliau, jika diambil oleh Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan merisaukan mereka yang hendak menunaikan haji.


"Tiada yang risau masa bercuti mereka sama dengan tarikh pilihan raya.


"Bahkan, untuk seluruh warga yang bekerja, sama ada di pihak swasta mahupun kerajaan boleh merancang sebaiknya dengan tarikh pilihan raya diketahui," kata beliau lagi.

Sebaliknya kata Tuan Ibrahim, "namun penyelesaian yang mudah ini bukan fokus akhbar-akhbar Umno."

Sebagaimana ditekankan semalam, Pesuruhjaya Pas Pahang ini mengulangi sama ada Perdana Menteri boleh memberi jaminan yang PRU13 tidak akan diadakan pada musim haji kali ini.


"Jadi, bila perdana menteri nak buat PRU13? Musim haji ke? Calon Umno pergi haji ke tak tahun ini? Boleh bagi jaminan tak buat PRU13 masa musim haji?" katanya lagi dengan mengakhiri kenyataan media "senyum."


Dalam kenyataan media hari ini, Tuan Ibrahim mendakwa kenyataan beliau pada 5 Jun lalu telah diputarbelitkan oleh media-media pro-Umno.


Kenyataan itu berhadapan dengan kecaman pemimpin-pemimpin Umno sejak beberapa hari lalu.



Katanya, beliau hanya menyeru ahli-ahli Pas yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya iaitu calon atau wakil calon atau ejen parti seperti pengarah pilihan raya,  telah diputarkan seolah-olah ia ditujukan kepada semua umat Islam di Malaysia lapan hari kemudian.


"Namun begitu, ia tidak hairan, selepas  kontroversi (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) PTPTN yang menampar muka sendiri, jawapan-jawapan menteri di Parlimen yang memang susah untuk ditonjolkan di muka depan, bertambah pula laporan-laporan antarabangsa mengenai isu Scorpene , mereka perlu mencari sesuatu untuk mengalih pandangan rakyat," dakwa Tuan Ibrahim.


"Bajet 2013 yang disebut bajet pilihan raya akan diumum pada 28 September. Tarikh Hari Raya Haji adalah 26 Oktober. Sudah ada bayangan pilihan raya umum 1986 di musim haji bakal berulang," katanya.


Sambil menekankan bahawa isu menangguhkan haji sebenarnya mudah, beliau berkata, "betulkah PRU13 akan diadakan di musim haji? Masalahnya tiada yang tahu."


"Apakah mungkin PRU13 diadakan di musim haji? Masalahnya ialah mungkin.


"Apakah yang perlu dilakukan jika PRU-13 diadakan di musim haji?" katanya lagi.


Tuan Ibrahim berkata, menjadi hak Perdana Menteri untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen "walaupun Pas memang membantah jika PRU13 diadakan di musim haji."


"Adakah orang-orang Umno yang terlibat dengan PRU13 akan pergi menunai haji?


"Calon, wakil calon dan ejen parti seperti pengarah pilihan raya akan terus juga dengan niat menunai haji. Tiada yang bertanya," katanya.


Walhal, katanya, soalan yang patut difokuskan ialah wajarkah perdana menteri mengadakan pilihan raya pada musim haji.


"Jawapannya jelas tidak. Apakah jaminan ia tidak berlaku?


"Tiada. Sebab itu Pas mendesak perdana menteri bagi jaminan," jelas beliau.