Ahmad Maslan
 
Ahmad Maslan berkata BN masih dalam gear lima dan pusingan akhir menghadapi PRU13.
 
SHAH ALAM - Kepimpinan Umno dan Barisan Nasional menolak andaian sesetengah pihak khususnya pembangkang bahawa tsunami politik Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan bergerak dari selatan Semenanjung dengan bakal mengubah Kerajaan Negeri Johor.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, mengambil kira perkembangan ketika pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang awal tahun lalu, andaian pihak pembangakng adalah “satu kesilapan.”

"Itu lagi satu kesilapan pandangan mereka... (lihat) pilihan raya kecil Tenang, satu bukti yang jelas kita (BN) tambah majoriti, bukan kurang majoriti pilihan raya kecil Tenang daripada 2,000 lebih kepada 3,707 (undi).

"(Jadi) bagaimana pula berlaku tsunaminya, di mana silap Kerajaan Negeri Johor, Kerajaan Negeri Johor tak ada buat silap apa-apa, rakyat Johor berpuas hati terhadap semua perkara, lainlah kalau ada skandal besar kerajaan negeri, bolehlah, nak kata ada tsunami" kata beliau kepada Sinar Harian Online dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN menegaskan, tidak wujud apa-apa perkara sehingga memerlukan perubahan kerajaan negeri.

"Apa silapnya, negara aman, jenayah terkawal, harga sawit mahal, Johor banyak sawit, selepas itu rakyat ada pekerjaan. Di mana ada wujud perkara-perkara yang tak betul ini, yang menyebabkan perlu ditukar kerajaan negeri? Lainlah jika kerajaan negeri betul, berlaku skandal macam di Selangor, yang tak berhenti-henti.

"Menteri Besarnya (Datuk Abdul Ghani Osman) rajin turun ke bawah, macam-macam program dibuat dan bukan hanya Menteri Besar rajin, tapi Sultan pun rajin berjumpa rakyat.

"Apa hal pula kerajaan tiba-tiba nak berubah pula? Saya sentiasa berada di Johor, tiap-tiap minggu walaupun selepas empat tahun (PRU12), saya tahu perasaan orang Johor, ia berbeda dengan banyak tempat, jadi saya tak nampak ada apa-apa akan berlaku di negeri Johor, BN kan terus menang, dan akan terus kekal kubu kuat," katanya lagi.

Menjawab soalan pembangkang mendakwa enam kerusi Parlimen kemungkinan akan jatuh, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata,  itu hanya teori-teori yang hanya mahu menyedapkan telinga pembangkang.

"Apa, kalau mereka kata nak jatuh apa kita nak biarkan ia jatuh sahaja? Kita juga buat kerja yang macam-macam, kalau mereka kerja jangan mereka fikir mereka kerja mereka ada 10 ceramah kita tak buat kerja untuk mengatasi mereka.

"Kalau pun mreka tak nampak kami buat kerja ceramah kami ada kerja lain, tak perlu kita nak bagi tahu semua sekalikan?" katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini juga menambah, pembangkang tidak wajar menganggap bahawa Umno dan BN akan membiarkan Johor jatuh.

"Jadi kalau mereka kata mereka pandai, apa kita ini bodoh? Kalau mereka kata mereka boleh berikan janji-janji, apakah kita ini tak tunaikan janji?

"Jadi, itu satu persepsi yang perlu diperbetulkan oleh pembangkang terhadap kekeliruan yang cuba ditanam oleh pembangkang," kata beliau sambil menambah, rakyat cuba dikelirukan oleh pembangkang dengan mengatakan mereka boleh "tawan itu boleh tawan ini."

"Ingat kita ini duduk saja? Apa kita nak biar orang tawan kita? Kita juga mempunyai strategi-strategi tertentu untuk kita mempertahankan diri dan menawan kawasan mereka," katanya lagi.